PRN: 3R Jadi Taruhan Parti Lawan, Bawa Amalan Politik Sempit – Ridhwan

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali kesal dengan tindakan parti lawan yang masih lagi menggunakan elemen 3R iaitu bangsa, agama dan raja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan hadapan.

Jelas beliau, ianya adalah amalan politik yang tidak sihat dan disifatkan sebagai berfikiran sempit.

“Saya melihat pada hari ini ada banyak kempen yang dibuat oleh parti politik terutama pembangkang yang mana mereka membangkitkan banyak isu berkaitan agama, bangsa dan raja-raja.

“Bagi saya perkara ini amat tidak sihat dan saya lihat kita kena berpolitik apabila hendak memimpin sesebuah negara majmuk seperti Malaysia kita perlukan perpaduan yang mana semua pihak dapat bekerjasama dengan baik

“Politik sempit yang menfokuskan kepada satu kaum, agama ini tidak sesuai untuk negara kita Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Ridhwan berkata sentimen tersebut akan membawa persepsi tidak baik kepada rakyat Malaysia yang majmuk.

“… ianya tidak menjamin kestabilan yang berpanjangan untuk negara kita.

“Sebab itu saya percaya pengundi akan melihat parti yang berupaya membawa kestabilan dan perpaduan antara kaum tanpa mengira latar belakang agama, bangsa parti itu yang boleh mendapat tempat di hati rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit