‘Kalih Bagi Sama’ Sealiran Dengan Kerajaan Persekutuan – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Slogan ‘kalih bagi sama’ mempunyai titik persamaan antara gabungan UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan yang sealiran dengan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kempen ‘kalih bagi sama’ itu juga adalah tawaran rakyat Kedah yang mahu melihat pentadbiran negeri dan Persekutuan selari, agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke negeri berkenaan.

“Saya mohon pengundi Kedah ‘kalih bagi sama’. Kita jadi kerajaan negeri Kedah sama dengan kerajaan di Putrajaya. Di sana Kerajaan Perpaduan dan di sini pun Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh UMNO/BN dan PH.

“Kali ini berilah peluang kepada UMNO/BN dan PH menjadi kerajaan negeri Kedah. Itu adalah harapan, rayuan dan permohonan kepada semua pengundi di Kedah,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama Mahdzir juga menyerahkan pada pucuk pimpinan parti sekiranya UMNO/BN dan PH menang pilihan raya.

“Siapa nak jadi ketua kerajaan kita serahkan pada pucuk pimpinan tapi yang lebih penting dari ketua kerajaan adalah hari ini kita kena menang pilihan raya dahulu.

“Nak menang pilihan raya ni jumlah kerusi kena cukup dan tiap kerusi-kerusi ni nak dikira kerusi ‘ fokus’ dan tak ada kerusi tak fokus,” katanya lagi.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Padang Terap lagi, terdapat berbagai-bagai strategi dan data untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita ada berbagai-bagai strategi dan juga data. Tak boleh strategi tanpa data. Sebagai contoh pengundi UMNO ada berapa ribu dan deposit yang datang dari UMNO/BN ada berapa ribu?

“Orang yang sedia membantu UMNO ada berapa? Orang yang sebelah hitam berapa? Setakat mana nak ambil orang jadi pengundi dan itu termasuk dalam strategi tapi data kena ‘clear’ dan tak boleh ‘blind spot’,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.