PRN: Kerajaan Pas Terengganu Hanya Mampu Ciplak Idea BN – Tengku Haphiz
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera berkata apa yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu adalah demi keselesaan dan kesenangan rakyat.
Ini kerana katanya, ianya cukup jauh berbeza dengan kerajaan Pas Terengganu yang hanya meneruskan projek serta menciplak program-program dan aktiviti yang dilakukan oleh BN semasa memerintah negeri ini.
“Kerajaan Pas di Terengganu ini sering mengulang-ulangkan program dan aktiviti kerajaan BN sebelum ini terutamanya dari segi insfrastruktur dan bangunan komersial akan tetapi bangunan yang diperlukan rakyat dikatakan hampir tidak ada.
“Projek yang dilakukan Kerajaan Pas adalah kesinambungan dan perancangan dari kerajaan BN terdahulu. Sebagai contoh, ikonik Terengganu iaitu jambatan Terengganu (Jambatan Angkat Kuala Terengganu), suatu ketika semasa menjadi pembangkang mereka (Pas) sangat ‘vokal’ dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka membantah semua projek yang dirancang BN.
“Kini semua hasil idea dan perancangan BN menjadi ikonik baharu di peringkat nasional serta mendatang pulangan hasil yang baik untuk negeri. Sekiranya orang luar datang ke Terengganu ia akan melihat pembangunan itu seolah-olah kerajaan Pas yang buat sedangkan ianya adalah idea kerajaan BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Dalam masa yang sama Haphiz yang juga Ketua Pemuda UMNO Hulu Terengganu menjelaskan UMNO khususnya Pemuda UMNO Terengganu sudah lama bersedia hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kita sebenarnya sudah lama buat ‘preparation’. Kita teruskan apa yang ada pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan pada PRN ini kita ‘touch up’ mana yang perlu.
“Alhamdulillah… setakat ini sudah hampir seluruh bahagian dan DUN sudah bersedia terutama sekali pergerakan Pemuda UMNO Terengganu,” ujarnya. – UMNO Online