Kerja Kuat Pastikan Kerajaan Perpaduan Menang Di Pulau Pinang – Musa

PERMATANG PAUH, 17 Julai – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bertekad akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, kata Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, pihaknya memberi komitmen akan bekerja kuat bersama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan negeri ini masih kekal di bawah pentadbiran parti-parti Kerajaan Perpaduan.

“Saya dan rakan-rakan UMNO/BN menyokong kerajaan PH di Pulau Pinang dan mari kita tekadkan hati, berganding bahu dan lupakan perkara lama. Buka buku baru dan tinggalkan buku lama.

“Kita kena kerja kuat dan pastikan UMNO/BN, PH dan Kerajaan Perpaduan kekal memerintah di Pulau Pinang. BN bergabung dengan PH, biru merah berpadu dan mengekalkan kerajaan ini. Sesiapa yang menjadi calon dan mewakili Kerajaan Perpaduan, UMNO/BN akan membantu dan kerja kuat bagi memberi kemenangan Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini Ahad malam.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan BN dan PH.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata semenjak negeri Pulau Pinang ditadbir oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow banyak pembangunan dan kemudahan insfrastruktur dibina untuk kepentingan rakyat.

“Kita lihat pembangunan di Pulau Pinang dan bandingkan dengan negeri lain. Kita ada Ketua Menteri Pulau Pinang yang bertanggungjawab untuk membangunkan negeri ini.

“Ada orang kata Pulau Pinang ini habis… ‘sembang kari’ mereka tu. Siapa nak ambil negeri ini, negeri dia pun tak ada air dan tak boleh mandi tapi kita di Pulau Pinang, hari-hari pun boleh mandi. Ini dia nak ambil Pulau Pinang,” katanya lagi.

Tambah Musa lagi semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara, ekonomi semakin merundum apatah lagi semasa COVID-19 melanda semua rakyat disekat melakukan segala perkerjaan.

“Selama mereka memerintah dia ‘lockdown’ rakyat, apa kamu buat? Pelabur hilang, ekonomi merudum tapi sekarang ini meningkat apabila Kerajaan Madani menjadi kerajaan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.