UMNO Johor, Melaka Ikrar Bantu Kemenangan PRN Negeri Sembilan

KUALA PILAH, 16 Julai – Badan Perhubungan UMNO Johor dan Melaka menyatakan komitmen terbaik mereka untuk membantu kemenangan parti di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung bulan hadapan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapannya berkata keputusan Johor dan Melaka pada PRN dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membawa manifestasi tersendiri kepada kekuatan UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Negeri Sembilan ada lapan Parlimen, UMNO/BN menang lebih daripada separuh iaitu lima. Pada PRN Melaka, kita menang 21 daripada 28, di Johor 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bolehlah kita rumuskan Negeri Sembilan, Johor dan Melaka adalah kubu kuat BN. Jadi apabila sudah jadi kubu kuat ini, maka bebanan kita bertambah berat iaitu kena menangkan DUN ditandingi BN.

“Johor dan Melaka membantu kerana Negeri Sembilan telah buat yang sama sebelum ini jadi kita akan usaha sungguh-sungguh sebagai bahagian angkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin serta kepimpinan lain.

Ikrar tersebut turut sama dilontarkan Rais kerana menyifatkan Negeri Sembilan memainkan peranan penting ketika kemenangan BN pada PRN negeri itu.

Beliau dalam pada itu memaklumkan seramai 1,000 jentera akan dihantar bagi membantu sepanjang tempoh dua minggu berkempen yang bermula pada 29 Julai.

“Komitmen kami dengan membawa jentera, dalam masa yang sama bukan sahaja untuk membalas budi tetapi sentiasa mengenang apa yang Negeri Sembilan lakukan kepada Melaka ketika PRN tempoh hari sehingga kami menang dua pertiga.

“Jadi insya-Allah saya diamanahkan untuk memaklumkan komitmen kami akan berikan 1,000 jentera sepanjang PRN ini yang akan diwakili setiap bahagian.

“Ketua-ketua bahagian masing-masing sudah lakukan lawatan dan perbincangan dengan DUN angkat saya yakin dan percaya kerusi yang kita bertanding akan menang dan kekalkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.