Mahdzir Yakin Kerjasama BN Dan PH Mampu Tawan Kedah

 

GUAR CHEMPEDAK, 16 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan membuahkan kejayaan yang cemerlang.

Jelas beliau, kerjasama ini akan berjaya sehingga tahun-tahun mendatang sekiranya rakyat Kedah terus beri sokongan kepada BN dan PH.

“Saya yakin dan percaya dengan kerjasama ini boleh berjaya dengan selanjutnya dengan tahun-tahun mendatang. Sebagai jentera parti, penyokong dan pendukung ajaklah sebanyak mungkin saudara mara, rakan taulan untuk beri sokongan pada BN dan PH.

“Jangan takut dan tidak perlu rasa risau dan kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan itu yang diminta sebuah perpaduan yang aman dan stabil dalam negara yang ‘multi-racial’. Saya nampak ada kerjasama yang erat dan usaha yang baik dan dengan izin Allah SWT kita boleh mencapai kejayaan. Bukan sahaja mencapai kejayaan malah boleh menubuhkan kerajaan baharu di negeri Kedah.

“Kita berada di ambang pilihan raya dan lebih kurang sebulan dari sekarang akan mengundi dan adakah kita akan menang pada 12 Ogos nanti. Kita boleh menang dengan kerjasama yang baharu dibina selama lapan bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Kedah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH), di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Tetap merasa terkilan tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak membantu rakyat Kedah.

“‘Kalih bagi sama’ dan banyak kerja yang patut dibuat di sini tetapi Sanusi tidak buat kerja itu. Sanusi pergi ke Selangor dan tempat lain, berceramah dengan ‘loklak’ dan mengata pada orang, fitnah dan sebagainya. Sebenarnya banyak kerja di Kedah ini harus dibuat.

“Ada 42 ribu pekerja Kulim Hi-tech Park (KHTP), Langkawi, gunung Bintang, Sungai Petani, Bukit Kayu Hitam, di Kulim, kerajaan negeri boleh membantu dan banyak urusan yang boleh dibuat dan tolong anak muda dan macam-macam boleh dilakukan.

“Anak muda nak makan, baharu kahwin, nak bayar ‘hand phone’, ada rumah dan nak cari penyelesaian dan bukan sahaja Kerajaan Persekutuan malah kerajaan negeri kena cari idea, kena cari perkara yang patut dibuat untuk membantu anak muda. Bukan sahaja anak muda tapi kita nak bantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sepatutnya Menteri Besar Kedah itu tidak sibuk bersyarah dan mencampuri urusan negeri lain dan apa yang perlu adalah mengurus serta mementingkan kebajikan rakyat negerinya.

“Kita nak bantu pesawah, nelayan, penoreh getah yang ada di Padang Terap, Sik, Baling dan Padang Serai.

“Oleh kerana Menteri Besar tak buat kerja itu kita tukar Menteri Besar pada PRN ini. Dengan bantuan dari Kerajaan Perpaduan kita boleh mentadbir negeri ini,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit