PRN: Tekad UMNO/BN Negeri Sembilan Bentuk Kerajaan Perpaduan

KUALA PILAH, 15 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias tekad untuk memastikan negeri ini membentuk Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Jelas beliau, kesemua jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan di kerusi ditandingi termasuk membantu Pakatan Harapan (PH).

“Jangan lupa tanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, kita hendakkan rakan-rakan PH yang bertanding di 19 Dewan Undangan Negeri (DUN) menang.

“Bantu jentera mereka untuk memenangi semua kerusi ditandingi pada PRN ini, jangan ada gusar atau belah bahagi.

“Kita mesti kukuhkan tekad kerana demi landskap politik negara dan Negeri Sembilan untuk kita lihat selepas PRN serta tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, di sini petang tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan serta kepimpinan lain.

Jalaluddin berkata jentera UMNO/BN pada ketika ini bersedia sebaiknya bertemu dengan pengundi bagi memastikan agenda Kerajaan Perpaduan untuk negeri ini diberi penerangan sebaiknya kepada rakyat.

“Berterabur di semua pelusuk kampung, pusat daerah mengundi (PDM) dan cawangan untuk pastikan setiap pengundi diberi penerangan dan penjelasan dikunjungi, santuni.

“Kita hendak berjumpa semua pengundi untuk sampaikan tanpa rasa letih, jawatankuasa badan perhubungan bekerja sepanjang masa, saya pegang mereka supaya kita baca satu-satu tengok jangan ada terlepas pandang.

“…dan pada petang ini adalah permulaan ikatan ukhuwah kita bersama bahagian angkat dari Johor dan Melaka untuk terus menyumbang kemenangan di setiap 17 DUN yang kita tandingi,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama mengingatkan parti lawan untuk tidak memainkan sentimen isu bangsa, agama dan institusi raja (3R) yang berupaya membawa perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Hari ini Perikatan Nasional (PN) jangan main-main dengan Negeri Sembilan, jangan pecahkan belahkan soal perpaduan Islam, Melayu, Raja-raja… jangan mereka gunakan sentimen itu untuk meraih undi di negeri ini,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.