PRN Peluang Terbaik Rakyat Selarikan Kerajaan Negeri Dan Pusat – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Ogos ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat selarikan tampuk pemerintahan negeri dengan kerajaan pusat bagi memudahkan proses pentadbiran.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cabaran yang paling besar dalam menghadapi PRN ini adalah untuk membaca kemahuan rakyat dalam menentukan kerajaan negeri.

“Perkara yang saya rasa paling besar ialah ke manakah rakyat kita nak pergi selepas ini. Seperti kita sedia maklum selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tiada mana-mana parti dapat menubuhkan kerajaan sehingga titah daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Siapa yang mahu ada dalam situasi negara tidak berkerajaan? Bayangkan sekiranya kita tidak mempunyai kerajaan sehingga kini, penjawat awam tidak boleh dibayar gaji dan masalah FELDA tidak dapat diselesaikan.

“Bayangkan sekiranya perkara tersebut berlaku,” katanya ketika sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online yang bertajuk ‘Melakar Kanvas Kemenangan’, anjuran Sekretariat Media Perpaduan.

Turut hadir pada sesi wawancara tersebut sebagai panel ialah Presiden Parti Amanah Negara yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut Ahmad Shabery, soal pembentukan kerajaan pusat telah pun selesai dan kestabilan negara mestilah dibentuk dengan menyelarikannya bersama kerajaan negeri.

“Apabila ditanya kepada Pakatan Harapan (PH), sanggup atau tidak untuk bentuk Kerajaan Perpaduan? Mereka sanggup. BN pun sama tetapi lagi satu pihak (Perikatan Nasional-PN) menolak. Mereka pilih untuk jadi pembangkang.

“Sekarang ini, kita perlu tahu apa yang rakyat mahukan menjelang PRN ini. Adakah mereka mahukan sebuah negara lebih stabil ataupun yang berkecamuk? Saya rasa rakyat akan memilih negara yang stabil.

“Kita bersama-sama perlu mengakui keputusan yang telah diputuskan rakyat. Sekiranya pentadbiran kerajaan di pusat dan negeri selari, lebih mudah untuk para pelabur masuk disebabkan kestabilan yang kita ada,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan masalah air di Kelantan akan dapat diselesaikan sekiranya rakyat membuat keputusan untuk mengubah pentadbiran yang sedia ada.

“Kalau nak urus soal air, ianya boleh diselesaikan sekiranya pentadbiran negeri selari dengan pusat. Pembentukan kerajaan pusat telah selesai, tetapi akan menjadi masalah kepada rakyat sekiranya berbeza pentadbirannya.

“Rakyat perlu membuat keputusan untuk memudahkan penyelesaian masalah. Contohnya seperti masalah air. Apa yang telah kerajaan negeri Kelantan buat? Sama seperti di Terengganu. Semua perkara yang dibanggakan ialah usaha kerajaan terdahulu (BN).

“Ini adalah masa yang terbaik untuk selarikan pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri. Peluang ini akan diberikan kepada rakyat pada PRN Ogos ini,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya minggu lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.