PRN: Kerajaan Perpaduan Model Terbaik, Teruskan Agenda Kebajikan Rakyat – Sulaiman

TANJUNG KARANG, 15 Julai – Kerajaan Perpaduan merupakan model terbaik bagi meneruskan agenda kebajikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa, kata Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak.

Untuk itu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak beliau berkata rakyat pelbagai kaum perlu memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menubuhkan kerajaan di peringkat negeri Selangor.

“Kerajaan Perpaduan ini adalah merupakan model terbaik untuk negara kita, di sini menghimpunkan orang-orang Melayu, Cina dan India.

“Kami di Barisan Nasional (BN) ini bukannya perkara baharu sebab kita pun dah ada membentuk kerjasama di peringkat BN ada komponen daripada MIC dan MCA, itu sudah biasa tiada masalah pun.

“Jadi kita perlukan kerjasama dan membentuk perpaduan ini bagi memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Karang ini kesemuanya memihak kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Madani N09 Permatang yang diadakan baru-baru ini, turut hadir adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Sementara itu, Sulaiman berkata komitmen dalam kalangan pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jelas menggambarkan semangat perpaduan sebagai usaha bagi mengekalkan penguasaan di negeri ini.

Jelas beliau prinsip perpaduan ini amat penting dihayati bagi memastikan gerak kerja terbaik dilaksana dalam kalangan penggerak parti.

“Alhamdulillah kerjasama ini terbukti bahawa pemimpin-pemimpin utama kita serasi malah kepimpinan di peringat cabang dan bahagian membentuk satu kerjasama yang terbaik… ia penting untuk memastikan DUN Sungai Burung dan Permatang akan terus kekal di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kita kena usahakan kerana di peringkat akar umbi ini kena sama-sama bekerja, benda baru ni memang ada kadang-kadang kurang sana sini, itu perkara biasa kerana ia boleh di atasi dengan semangat perpaduan, kerjasama, saling menghormati dan lengkap-melengkapi,” ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu.

Sulaiman dalam pada itu berkata amat penting untuk kerajaan negeri yang bakal ditubuh kelak sealiran dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelan pembangunan negeri dilaksanakan sebaiknya demi manfaat rakyat.

“Kerajaan Persekutuan ada banyak perancangan infrastruktur, jalan raya, lapangan terbang jika negeri selari dengan Persekutuan ini lebih memudahkan kita untuk bersama-sama memajukan Selangor yang dikasihi ini.

“Bersama rakan-rakan di bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan cawangan-cawangan insya-Allah kami akan memberikan kerjasama terbaik di semua peringkat untuk memastikan parti mana pun yang mewakilinya siapa pun calon. Insya-Allah kita bukan sekadar nak menang tetapi mendapat majoriti yang selesa,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.