Pihak Berkuasa Perlu Ambil Tindakan Pihak Sentuh 3R

SUNGAI PETANI, 15 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ walaupun berbeza pendapat.

Presiden UMNO itu berkata perbuatan tersebut hanya akan memberi gambaran yang negatif bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga rakyat keseluruhannya lebih-lebih lagi jika membabitkan pemimpin parti berasaskan agama.

Beliau berkata antara perkara yang perlu dielak disentuh sepanjang kempen ialah isu 3R (agama, raja dan kaum) bagi menjaga keharmonian serta ketenteraman dalam kalangan masyarakat dan mana-mana pihak yang ingkar, perlu dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

“Apatah lagi jika menghina… terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya UMNO/BN di Merbok dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid merujuk tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilapor mengemukakan permohonan ampun dan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Beliau berkata memaki hamun, mencaci serta memfitnah kemudian memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima dan harus ditolak oleh rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun agama yang dianuti.

Ditanya sama ada ‘aura’ tersendiri yang dimiliki Muhammad Sanusi boleh memberi kesan kepada kempen BN dan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid menyifatkan Menteri Besar Kedah itu tidak lebih daripada ‘pelawak politik.’

“Seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka kita serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di negeri Kedah.

“Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,” katanya.

Mengulas keyakinan Pengerusi PH Kedah Datuk Seri Mahfuz Omar bahawa PH dan BN mampu menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada pilihan raya negeri nanti, beliau berkata kedua-dua gabungan perlu bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu.

“Yang penting kita bekerja keras dahulu baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri terutama di Kedah ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.