Kerajaan Negeri Kedah Dituntut Beri Penjelasan Kepada Rakyat Berkaitan Penerokaan Haram REE Di Sik

PADANG TERAP, 14 Julai – Kerajaan negeri perlu memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan penerokaan haram Unsur Nadir Bumi (REE) yang masih berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, susulan penangkapan beberapa individu kerana menceroboh kawasan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sikap berdiam diri kerajaan negeri dalam isu REE itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk tanggapan bahawa kegiatan perlombongan di kawasan itu didalangi oleh pihak tertentu.

“Kalau tak ada penjelasan, itu yang menimbulkan keraguan tentang kedudukan REE itu. Sehingga hari ini tak ada penjelasan daripada mereka. Ada dalang?

“Saya tak tahu ada dalang ke tak? Kalau ‘dok’ senyap ini orang mula syak ada dalang.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Puteri UMNO Kedah di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka dekat sini hari ini.

Isu REE menurut Mahdzir, semakin parah setelah pembongkaran kes pemerdagangan manusia apabila warga asing diambil bekerja di kawasan tersebut semalam.

“Saya fikir bahawa perkara yang dikaitkan dengan isu perlombongan ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Kerajaan negeri kena ambil tanggungjawab sama ada perlombongan itu dibuat secara haram atau berlesen.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Ia menjadi tanda tanya kepada semua orang. Sampai hari ini tak dapat penyelesaian REE yang berlaku itu. Minggu ini ada dibawa ke mahkamah, ada pekerja asing yang ditahan imigresen kerana masuk secara haram, kita pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.”

Tambah beliau, isu REE menimbulkan tanda tanya termasuk berkaitan syarikat yang diberikan permit untuk melombong di kawasan tersebut.

“Dalam REE ini… perlombongan ini syarikat mana yang ditawarkan dan dianugerahkan lesen untuk melombong. Apabila syarikat itu ditawarkan adakah syarikat itu memenuhi kriteria untuk melombong?

“Jabatan Alam Sekitar, mana ada kenyataan dan kedua Pejabat Tanah dan Galian, jika keluarkan lesen dan luluskan, apa kriterianya? Semua jabatan ada prosedur operasi standard. Kemudian ada kena tangkap, pekerja asing tak sah. Itu yang persoalan yang ditanya rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit