UMNO Sedia Bekerjasama Dengan Sesiapa… Tapi Bukan Yang Nak Bunuh Parti – Jamal Nerubi

PAPAR, 14 Julai – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi memaklumkan bahawa UMNO tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan mana-mana pihak sekalipun parti-parti politik namun bukanlah dengan mereka yang mahu ‘membunuh’ UMNO.

Katanya, sejak UMNO/Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, ada pihak yang sememangnya mahu menguburkan UMNO namun sehingga kini tetap gagal.

“UMNO ini parti yang berstruktur, berorganisasi, ada Perlembagaan dan ada kepimpinan dengan ahli-ahli berakar umbi dari seluruh pelusuk negara. Kerana itu, biarpun UMNO menjadi pembangkang dan kini sebahagian daripada kerajaan, sokongan anggotanya kepada parti tidak goyah.

“Kerana itu, dalam usaha mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi, anggota UMNO dari seluruh pelusuk negara termasuk Sabah dan Bahagian Papar juga akan turut turun padang dan menjadi jentera parti.

“Kita mahukan kemenangan kerana kita mahu menolak pihak yang berhasrat nak menggantikan perjuangan UMNO. Perjuangan UMNO bukanlah atas material atau kepentingan peribadi tetapi demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Jelas beliau lagi, UMNO dan anggota jentera parti akan memainkan peranan penting dalam mendepani pihak lawan yang kembali menggunakan manipulasi dan fitnah dalam berpolitik.

“Berdasarkan sokongan kita lihat momentum kembali kepada UMNO. Mereka sekarang seakan ketinggalan malah ada pemimpin-pemimpin pembangkang yang baru keluar, baru nampak muka kerana nak dekat pilihan raya.

“Tapi rakyat tahu, rakyat melihat bagaimana tindakan UMNO yang tidak pernah berhenti bersama rakyat walaupun kalah, maka perbandingan ini akan membuat rakyat menilai bahawa ada pemimpin-pemimpin yang cuma turun untuk meraih undi apabila tiba pilihan raya,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN). Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit