Pasukan Penceramah UMNO Yakin Tangkis Kekeliruan, Terap Kepentingan Pilih Pemimpin Kredibel Tadbir Negeri

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Para penceramah UMNO yakin bahawa mereka mampu untuk menjelaskan segala kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) terutamanya mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Tinjauan UMNO Online mendapati bahawa penceramah UMNO akan turut menerapkan kesedaran kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang berkredibiliti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak.

Setiausaha Penerangan UMNO Negeri Melaka, Rohazam Bakar berkata, para penceramah UMNO akan mencuba sedaya upaya untuk memberikan penjelasan sewajarnya bagi menangkis segala persepsi yang cuba ditimbulkan oleh PN.

“Alhamdulilah kita dah selesai Majlis Pentauliahan Penceramah UMNO, khas untuk PRN di enam buah negeri. Dengan segala input, hala tuju dan tugas diberikan kita sudah pastinya dapat meyakinkan semula rakyat.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini kita dapat lihat bagaimana pihak pembangkang yang iri hati dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini cuba mengelirukan rakyat dan pengundi.

“Kami para penceramah daripada UMNO akan menjelaskan segalanya supaya rakyat tidak terkeliru, dapat memilih dengan betul dan mewujudkan perpaduan yang baik untuk membina Malaysia lebih baik pada masa akan datang. Ini yang akan kita fokuskan dalam PRN kali ini,” katanya.

Rohazam turut berharap agar para pengundi membuat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan calon dan parti yang akan diberi mandat untuk mentadbir negeri-negeri ini.

“Jadi saya harap agar para pengundi tidak segan. Saya faham, kita ada kebebasan untuk mendengar mana-mana pihak berhujah dan berceramah.

“Dengarlah kedua-dua belah pihak dan pertimbangkan dengan rasional siapakah yang mampu membawa Malaysia ke arah perpaduan demi masa depan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Putera UMNO Malaysia, Mohammad Farhan Mokhali turut berasa teruja kerana telah diberikan amanah oleh parti untuk menjadi penceramah dari golongan muda.

“Saya sebagai orang muda hari ini berasa teruja sebab anak muda disertakan bersama. Ini turut menunjukkan bahawa UMNO memang perlukan anak muda bagi menambat hati pengundi sebaya.

“Ada perkara yang kita tidak faham sebelum ini, kita makin tahu. Cuma tugas kita pada hari ini adalah untuk menerangkan kepada para pengundi mengapa kita memilih untuk bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mohammad Farhan turut menyeru para pengundi muda untuk menilai segala info yang mereka terima seadilnya dan sedar akan kepentingan memilih para pemimpin berkebolehan untuk memacu kemajuan negeri.

“Saya ingin menyeru kepada semua pengundi terutamanya golongan muda, jangan mudah terpercaya dengan mana-mana informasi macam sebelum ini. Apabila kita dapat sesuatu maklumat, kaji dengan betul-betul.

“Fahami juga apa jua jenis info yang bakal disampaikan kelak, nilai dan undilah parti dan pemimpin yang terbaik. Harap mengundi lebih sedar tentang betapa pentingnya untuk memilih para pemimpin yang berkredibel untuk mentadbir negeri,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu telah diadakan Majlis Penerimaan Sijil Tauliah Penceramah Penerangan UMNO Malaysia yang turut dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos.

Enam negeri terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.