Kesetiaan Ahli Kunci Utama Perkukuh UMNO – Azhari

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan kesetiaan dalam kalangan ahli merupakan kunci utama dalam memperkukuh parti keramat ini.

Namun jelas beliau, mendepani pelbagai cabaran ketika ini menunjukkan bahawa kesetiaan semakin teruji.

“Setia itu mahal. Makin lama makin jelas siapakah ahli-ahli yang bersetia dan siapakah duri dalam daging di dalam parti UMNO yang kita sayangi ini.

“Dahulu, kita marahkan sekumpulan makhluk di dalam parti yang di bajunya logo UMNO tetapi jiwanya adalah PPBM. Keputusan demi keputusan yang dibuat oleh parti, habis dilanggar oleh mereka.

“Maka terwujud nama ‘kluster menteri’ atau ‘geng broker’ atas percubaan khianat yang mereka cuba lakukan untuk melemahkan parti atau menggantikan parti dengan PPBM. Mereka ini dimarahi oleh ahli-ahli parti yang setia pada ketika itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Lebih malang lagi menurut Azhari ada dalam kalangan ahli-ahli parti yang dilihat setia dahulu telah mula menunjukkan belang sanggup mengajak ahli-ahli UMNO untuk memboikot Pilihan Raya Negeri.

“Ada juga seorang ketua cawangan bahagian lain semalam yang mengaku sebagai ketua kepada penyokong-penyokong Datuk Seri Najib Razak telah secara terang, jelas dan nyata mengajak penyokongnya undi Perikatan Nasional (PN).

“Sungguh tak masuk akal orang begini. Kita kenal Najib sebagai pemimpin ‘world class’ yang sayangkan parti. Tidak mungkin beliau memberi arahan sabotaj atau lemahkan parti yang beliau cintai ini. Beliau sudah berpesan berkali-kali melalui isterinya Datuk Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya supaya jaga parti dan kuatkan parti,” ujar beliau.

Azhari dalam pada itu berkata pembersihan parti ini masih perlu diteruskan di samping ahli-ahli UMNO yang bersetia mengukuh dan memperkuatkan parti.

“Di Selangor, formulanya mudah. Bina kekuatan melalui politik kesederhanaan (wasatiyyah) bersama Pakatan Harapan (PH) yang telah menang negeri sejak 15 tahun dahulu lagi.

“Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kita boleh tingkatkan lagi menjadi hampir 300 peratus dengan sokongan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ingatlah, tanpa parti UMNO, siapalah kita di dalam politik tanah air.

“Rakan-rakan politik daripada PH juga sedar akan perkara ini sebab itu Presiden PH sendiri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim jugalah yang mempertahankan UMNO yang bersejarah daripada menjadi sejarah. UMNO hampir diharamkan oleh orang yang mencipta nama melalui UMNO dahulu namun telah khianat kepada UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.