PN Dibentuk Atas Dasar Pengkhianatan Yang Pernah Dilakukan Mereka – Imran

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor berpandangan gabungan Perikatan Nasional (PN) dibentuk atas dasar pengkhianatan yang pernah dilakukan mereka.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata ini kerana Pas dan PPBM merasakan kerjasama sebelum ini dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) termasuk Muafakat Nasional (MN) tidak membawa keuntungan kepada mereka.

“Mereka membentuk satu gabungan baharu atas pengkhianatan kerana tidak dapat apa yang mahu ketika bersama dengan gabungan PH dan juga ketika mereka bersama dengan BN ataupun MN.

“Ketika itu akhirnya untuk menjayakan agenda, mereka terpaksa membuat jajaran dan menubuh satu gabungan yang baharu untuk menjayakan agenda pemimpin mereka sebenarnya.

“Agenda mereka bukan untuk negeri dan juga negara tetapi lebih kepada peribadi yang tidak melihat kepada kepentingan rakyat dan ekonomi, ia lebih kepada kepentingan politik sebenarnya,” katanya.

Imran berkata demikian pada program Menjelang PRN 2023: Kredibiliti Atau Populariti? yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Perpaduan, turut menjadi panel adalah Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain.

Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar malah berkata Pas dan PPBM sudah pasti akan memanfaatkan pengalaman mereka yang pernah bekerjasama dengan BN sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun jelas Imran ianya tidak akan semudah yang disangka PN kerana barisan kepimpinan BN-PH akan melaksanakan gerak kerja terbaik mereka bagi mempertahankan Selangor.

“Mereka tahu di mana ‘soft spot’ khususnya dalam kalangan penyokong dan pengundi UMNO/BN. Apa yang kita kena buat sebagai kepimpinan UMNO/BN khususnya dalam konteks hubungan Kerajaan Perpaduan secara yang lebih luas supaya kita memaham dan juga beri penerangan begitu rapi kepada pengundi dan juga penyokong.

“Membina naratif dan juga pendirian sebagai sebuah parti serta sebagai sebuah gabungan dalam membina negeri dan juga negara.

“Kita tidak boleh biarkan tohmahan, dakwaan, hasutan dan juga dakwaan daripada PN khususnya yang mencuri dan juga mengambil hati pengundi dan penyokong kita,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Imran turut berharap rakyat memahami bahawa Kerajaan Perpaduan ini dibentuk atas dasar persefahaman di antara 19 parti-parti bagi menstabil dan mengukuh kerajaan.

Jelas beliau ianya bagi menafikan isu dimainkan pihak pembangkang yang selalu memomokkan kerjasama tersebut adalah di antara UMNO dan Dap.

“Antaranya perkara yang dimainkan adalah kerjasama UMNO dan Dap sedangkan ianya dibina ini meliputi konteks yang lebih besar dalam gabungan BN-PH.

“Kita ada banyak parti-parti gabungan lain tetapi naratif ini (UMNO dan Dap) dimainkan dan kena bina bahawa kerajaan tertubuh ini ialah Kerajaan Perpaduan yang akan memberikan banyak kelebihan dan juga manfaat kepada rakyat dan masyarakat.

“Sudah pastilah dalam PH salah satu parti gabungan komponennya adalah Dap tapi bukanlah Dap itu bukanlah melambangkan keseluruhan PH,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.