PRN: Jangan Terpengaruh Dengan Sentimen Politik Palsu Sengaja Dimainkan PN – Tengku Haphiz

KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menyeru para pengundi di negeri tersebut agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik palsu yang sengaja dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelasnya, dalam soal mentadbir dan menentukan hala tuju negeri, Terengganu perlulah membentuk kerajaan yang selari dengan pentadbiran pusat agar negeri tersebut dapat membangun pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya nak beri petunjuk yang jelas. Sekarang ini, kerajaan pusat adalah Kerajaan Perpaduan yang menjunjung perlembagaan negara. Kita di pusat mempunyai majoriti dua pertiga.

“Dalam dalam soal mentadbir, mengurus dan menetapkan hala tuju negeri mestilah selari dengan pusat. Keputusan yang dibuat akan membentuk kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya nak menyeru kepada rakyat Terengganu terutamanya pengundi-pengundi muda agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang palsu, menipu, tuduh-menuduh tidak berfakta dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai trek rekod pentadbiran yang jauh lebih baik daripada parti sedia ada terutamanya dalam membangunkan negeri Terengganu.

“Kita nak melihat Terengganu ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Kita dah berikan Pas peluang untuk mentadbir selama lima tahun. Apabila di bawah pemerintahan Pas, banyak lagi kelemahan yang dilihat kalau dibandingkan dari soal kemampuan dan keupayaan kita.

“Jadi, amat penting untuk membentuk kerajaan yang selari dengan kerajaan pusat supaya pembangunan kita lebih pesat kemudian menarik pelabur-pelabur luar untuk masuk melabur,” katanya lagi.

Tengku Haphiz turut menyeru rakyat untuk memberikan peluang kepada gabungan BN-Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri Terengganu agar lebih makmur dan kukuh dalam soal memacu ekonomi negeri.

“Apabila kita mempunyai kepimpinan yang berlainan antara negeri dan pusat, ianya akan menjejaskan ekonomi negeri, peluang pekerjaan anak-anak muda pada masa hadapan.

“Sebab itu saya ingin menyeru para pengundi Terengganu untuk kali ini, undilah calon-calon dari Kerajaan Perpaduan untuk kita pastikan negeri lebih makmur dan kukuh terutamanya dalam soal memacu ekonomi negeri,” katanya lagi.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan secara rasmi pada 28 Jun, dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat.

Susulan pembubaran itu, Terengganu ditadbir kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya minggu lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.