Mendepani PRN, Suasana Harmoni Perlu Terus Jadi Pegangan Utama – Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan sebarang perbezaan pendapat perlu ditangani dengan akhlak terbaik terutama dalam mendepani kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, suasana harmoni perlu terus menjadi pegangan utama bagi mengekalkan prinsip kebersamaan rakyat di negera ini.

“Seperti yang saya katakan semalam dalam kenyataan media saya di Dataran Merdeka meskipun kita kini berada pada suasana hangat pilihan raya, jika kita berbeza pandangan politik sekalipun, sebaiknya perbezaan itu ditangani dengan akhlak yang baik.

“Janganlah kita lakukan ‘character assassination’ (pembunuhan karakter) kerana ia bakal mencetuskan situasi yang tidak harmoni di antara kita rakyat Malaysia.

“Pandangan saya, dalam berpolitik elakkanlah daripada kita memfitnah antara satu sama lain, apa jua perkara yang tidak jelas, biarlah ia dirungkai dengan penuh hemah dan mengikut perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran isu yang dibangkitkan oleh media beberapa hari lalu berhubung kenyataan Lim Guan Eng didakwa sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum.

Ahmad Zahid juga meluahkan kepercayaan kepada pihak polis yang telah memberikan komitmen untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap apa jua kebenaran.

“Saya juga telah merujuk kepada jawapan balas Guan Eng yang menyatakan bahawa kenyataannya telah diputarbelit dan kenyataannya yang sebenar hanya merujuk kepada situasi lama pada tahun 2020 di Kedah.

“Saya juga percaya Guan Eng juga turut bersedia untuk memberi kerjasama dan menjawab segala persoalan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.