Salur Maklumat Penting UMNO Kepada Akar Umbi, Aplikasi Untuk Menang PRN – Mohamad Nazrin

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dilaksana tidak lama lagi, ia adalah aplikasi terbaik kepada ahli-ahli UMNO terutamanya para perwakilan yang telah hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 lalu menyalurkan maklumat penting parti yang dibawa balik bagi dimanfatkan kepada akar umbi di bahagian mahupun cawangan masing-masing.

Setiausaha Biro Pengkaderan dan Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Nazrin Faiz berkata, UMNO telah melalui proses penetapan semula lebih-lebih lagi apabila sedang menjalinkan kerjasama dengan 19 parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita melalui proses resetting parti kerana kita dalam satu kerjasama politik yang agak tabu sebelum ini. Hari ini kita telah memberi kefahaman terutamanya kepada ahli parti. Kita ada satu perjuangan yang difahami dalam kalangan keluarga parti kita untuk membawa kepada kejayaan terutama nak berdepan PRN tidak lama lagi.

“Saya lihat semangat para perwakilan dari segi pergerakan dan perbahasan dalam PAU lalu memang ketara. Tetapi yang penting adalah memberikan kefahaman dan memberikan input terus ke bawah terutamanya dalam menjelaskan mengapa kita bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

“Kita memilih mudarat kecil kerana kita mahu parti ini sustain dan berada dalam kuasa untuk kita teruskan berbakti kepada rakyat terutamanya,” katanya kepada UMNO Online.

Menuju PRN, Mohd Nazrin beranggapan bahawa apa yang lebih penting adalah keikhlasan setiap parti yang menjalin kerjasama di negeri-negeri terlibat.

“Saya rasa perbincangannya sudah berlaku dan saya lihat apa yang penting adalah keikhlasan kita untuk bekerjasama. Berapa bilangan, ianya mesti kita lihat juga bak kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’. Kita mungkin bertanding agak sedikit di negeri-negeri yang tertentu tetapi yang penting adalah kita ada impak kepada kerusi tersebut.

“Kalau kita bertanding banyak kerusi sekalipun tetapi kita hanya dapat sekelumit sahaja, tidak berguna pun. Saya lihat yang penting adalah apabila kita dah ada satu mutual understanding, kita cuba untuk ‘perform by stages’.

“Sekarang kita mungkin dapat bertanding sedikit kerusi, dan kita kena pulihkan parti ini dari semasa ke semasa, then we go bigger and bigger,” katanya lagi.

Dilaporkan, pengundi di enam negeri akan menjalankan tanggungjawab pada 12 Ogos untuk keluar mengundi apabila PRN dilaksanakan serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam pengumumannya berkata berkata tarikh penamaan calon bagi pelaksanaan PRN di enam negeri itu ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos dengan jumlah pengundi yang akan terlibat di enam negeri berkenaan adalah kira-kira 9.7 juta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.