Puteri UMNO Sedia Turun Padang Depani PRN, Fokus Pengundi Muda

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Pergerakan Puteri UMNO siap sedia untuk turun padang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi memaklumkan bahawa Puteri UMNO telah merancang gerak kerja termasuklah yang dibuat bersama-sama dengan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merancang untuk gerak kerja ke enam negeri yang bakal menghadapi PRN. Ada juga gerak kerja yang dibuat bersama dengan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Selain itu kami tekankan kepada jentera di bawah untuk pastikan kita tidak lari daripada fokus iaitu pengundi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Maklum Nurul Amal, untuk tahap terkini persiapan Puteri UMNO telah mencapai 68 peratus dan bakinya sedang berjalan sehingga ke penamaan calon.

Menjawab soalan berkaitan calon daripada Puteri UMNO, Nurul Amal mengakui ada menghantar nama kepada kepimpinan parti untuk dipertimbangkan.

“Sebenarnya semua negeri kita akan berkempen tapi sekiranya ada calon daripada Puteri UMNO, jadi itulah tumpuan yang akan jadi fokus utama.

“Insya-Allah perkara itu tidak dimuktamadkan lagi tapi saya yakin kepimpinan di atas memandang calon-calon daripada Puteri UMNO.

“Ada hantar nama calon (Puteri) yang dirasakan bersedia untuk bertanding di peringkat DUN dan kita menunggu perkembangan daripada peringkat atas,” katanya.

Beliau juga memaklumkan untuk menarik sokongan anak muda, parti-parti gabungan lain juga ada merancang aktiviti-aktiviti dan gerak kerja bersama.

“Kita tahu sekarang ini nak atau tak nak kita perlu perluaskan penggunaan media sosial kerana itu yang menjadi satu tarikan kepada mereka yang di luar sana.

“Dan untuk gerak kerja orang muda di luar sana, bersama dengan parti-parti gabungan, dan dengan Pemuda UMNO Malaysia iaitu ‘Geng Perpaduan’ digerakkan dan ini
telah dilancarkan semasa konvensyen baru-baru ini.

“Kita akan bergerak di enam negeri untuk PRN nanti,” katanya lagi.

Dilaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh PRN pada 12 Ogos dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.