Nak PRN… Waspada Sesumpah Politik Muncul Kembali

PILIHAN Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal diadakan tidak lama lagi.

Lantaran itu, tidak mustahil apabila ada pemimpin politik ‘mati hidup semula’ atau menjadi ‘sesumpah’ apabila PRN makin dekat.

Sungguh… taktik dan modus operandi parti-parti politik yang mula menabur macam-macam kepada rakyat pernah berlaku sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Ayat-ayat manis dan pemberian ‘gula-gula’ tentunya bakal menjadi pemancing undi.

Justeru, orang ramai waspadalah dengan ‘sesumpah’ menjelang pilihan raya. Mereka ini akan muncul saat-saat menjelang pilihan raya seperti sekarang ini… selepas itu hilang semusim sebagaimana penggal pilihan raya berlalu lantas apabila tiba pilihan raya semula akan muncul kembali dengan pelbagai taktik bagi mengaburi pemikiran rakyat.

Dalam hal ini, Parlimen Putrajaya wajar dijadikan contoh bagaimana janji ‘Era Baharu’ yang dicanangkan namun sehingga kini setelah lebih setengah tahun berlalu selepas menang dan menjadi Ahli Parlimen Putrajaya lain pula jadinya.

Selepas PRU-15 Putrajaya telah mendapat ‘Ketua Kampung’ atau ‘Penghulu’ baharu hasil pilihan 16,000 pengundi yang majoritinya anak muda mengenepikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor lantaran memilih orang baru dan muda yang kononnya lebih bertenaga dan banyak idea.

Selepas menjadi Ahli Parlimen Putrajaya, janji-janji yang dilafazkan tidak ditunaikan malah sebaliknya rakyat Putrajaya pula diminta menyumbang kepada pemimpinnya dengan wujudnya tabung khas yang mengajak ‘bersama kita bangunkan era baharu Putrajaya’ walhal sebelumnya warga Putrajaya yang mendapat pelbagai bantuan khusus.

Sememangnya hal ini bukan hanya berlaku di Putrajaya sahaja tetapi di kebanyakan kawasan pimpinan Perikatan Nasional (PN)/Pas. Alasan mereka amat mudah untuk berlepas tangan iaitu mereka bukan pemimpin pusat, bukan kerajaan, tidak ada duit, tidak ada peruntukan dan macam-macam lagi.

Sebagai pemimpin, sewajarnya Ahli Parlimen bertanggungjawab dengan menyalurkan bantuan kepada rakyat khususnya apabila pelbagai keluhan berlaku.

Rakyat perlukan bantuan, bukan penipuan. Apabila sudah menang dan diangkat jadi wakil rakyat maka sepatutnya laksanakan janji-janji. Jangan perdayakan rakyat jika tak mahu atau tak mampu nak tunaikan apa yang telah dilafazkan.


Ambil juga contoh bagaimana tingkah Tengku Adnan ketika menjadi wakil rakyat pada penggal lalu, juga bergelar pembangkang apabila Barisan Nasional (BN) tewas di peringkat pusat. Waktu itu Tengku Adnan dihimpit, ditekan dan diheret turun naik ke mahkamah atas tuduhan yang tidak berasas.

Namun tidak pula beliau abaikan warga Putrajaya waima ketika pandemik COVID-19 melanda pun. Tidak perlulah untuk beliau turun padang saban waktu namun sumbangan barangan keperluan asas yang disalurkan kepada komuniti setempat tidak pernah terhenti malah makin rancak dengan tambahan barangan dipelbagaikan terus ke pintu-pintu rumah.

Namun kini sebaliknya, Era Baharu yang dijanji masih tinggal janji hinggakan penduduk tempatan masih tercari-cari lokasi untuk bertemu dengan wakil rakyatnya. Konon diwujudkan Putrajaya Care malangnya ia adalah bersifat online sedangkan rakyat perlukan bantuan bersemuka.

Sudahnya, Pusat Khidmat UMNO Bahagian Putrajaya juga yang terus berfungsi hinggakan apa-apa bantuan yang diharap rakyat maka ditudingnya ke sana.

Bukan itu sahaja, pelbagai bantuan dan kemudahan yang telah diwujudkan oleh Tengku Adnan sewaktu menjadi wakil rakyat terus diaktifkan atas faktor kebajikan dan keselesaan komuniti setempat yang menjadi keutamaan.

Sungguh, UMNO terus melaksanakan tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan sehingga kini, pejabat UMNO seluruh negara terus-terusan melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat, bukan atas taburan jani palsu, bukan retorik politik malah bukan juga timbul bermusim.

Oleh itu, untuk para pengundi di enam PRN kelak, bijaklah gunakan kelebihan dalam hasil tangan yang memilih setelah menilai kepimpinan yang benar-benar berwibawa kerana natijahnya masa depan bakal tergadai.

Salam Menjelang PRN!

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.