Rakyat Kedah Yakin Gabungan BN Dan PH Mampu Tawan Negeri – Azman Azeez

 

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menyifatkan parti pembangkang tidak mampu mempertahankan negeri Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menurutnya, kerjasama yang erat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dibuktikan dengan menawarkan pelbagai insentif yang memberi manfaat buat rakyat.

“Sudah semestinya kelebihan kedua-dua gabungan besar ini dapat memberikan keyakinan dan kelebihan tertentu untuk memimpin negeri Kedah selepas menawannya. Apa yang penting ianya meletakkan harapan dan sandaran ini agar rakyat merasa yakin dengan kepimpinan hari ini.

‘We have to be different this time’. Inilah peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerjasama ini benar-benar tulen dan boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya untuk rakyat di negeri Kedah.

“BN dan PH perlu menawarkan inisiatif-inisiatif baharu untuk menyelesaikan masalah rakyat dan kerana itu tumpuannya hanya mahu membela nasib rakyat. Kerajaan BN telah lama buat selama ini iaitu membela rakyat dan hari ini bersama PH untuk memastikan visi tersebut dapat dicapai dan inilah harapan yang perlu diberikan pada rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Tambahnya, beliau yakin dengan kerjasama tersebut dapat menghasilkan yang terbaik bagi rakyat terutamanya pada PRN ini.

“Saya yakin kerjasama ini dapat digarapkan dan buktikan dari segi ‘nawaitu’ gabungan ini dan rakyat dapat menerimanya dan dapat membuahkan hasil dalam PRN yang akan tiba ini.

“Kita mesti tunjukkan dan buktikan apa yang dihadapi di negeri Kedah khususnya dari kelemahan-kelemahan kerajaan negeri hari ini dan banyak kelemahan terutamanya pengurusan pentadbiran, pembalakan, isu air yang rakyat di negeri ini menjadi mangsa kepada kerakusan dan kelemahan pentadbirannya,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling menjelaskan sekiranya UMNO diberi peluang menjadi sebahagian dari kerajaan negeri maka parti ini akan menjadi semak dan imbang antara kedua-dua gabungan ini.

“UMNO merupakan entiti baharu yang merupakan ‘check and balance’ khususnya untuk kerajaan negeri Kedah dan akan memberikan perkhidmatan lebih baik dengan kerjasama yang ada antara BN dan PH.

“Paling penting di peringkat bawah mesti berjiwa besar bahawa gabungan ini telah diputuskan di peringkat tertinggi dan perlu dilakukan secara bersama. Ini adalah masa dan ketika untuk melakukan dengan suasana yang berbeza daripada sebelum ini,” jelasnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit