Anak Muda Dominasi Keahlian Baharu UMNO, Beri Gambaran Baik Kepada Parti

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Jumlah pendaftaran ahli baharu UMNO sejak Januari yang didominasi oleh anak-anak muda mampu memberikan gambaran baik kepada parti.

Setiausaha Biro Pengkaderan dan Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Nazrin Faiz berkata, anak-anak muda yang menyertai UMNO perlulah difahamkan mengenai parti keramat itu termasuklah asas perjuangannya.

“Saya rasa ini satu gambaran yang baik terutamanya kepada parti kita walaupun di kala orang cakap tiada berminat dengan UMNO.

“Tetapi apa yang penting adalah kita mesti fahamkan mereka apa itu UMNO, asas perjuangan itu apa. Akhirnya, mereka inilah yang akan menjadi ‘bala tentera’ kita,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, kepakaran anak-anak muda dalam media sosial di pelbagai platform boleh membantu parti untuk mendapatkan kemenangan.

“Terutamanya bagi perang siber, media sosial bidang TikTok ini sangat ketara akan membawa kepada kemenangan.

“Jadi, anak-anak muda ini mesti kita berikan kefahaman terlebih dahulu jiwa, roh UMNO, self of belonging kepada UMNO itu mesti ada dan akhirnya baru kita boleh bawa mereka bersama-sama untuk memahamkan golongan anak muda,” katanya lagi.

Jumlah penambahan keahlian baharu UMNO dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023 adalah seramai 13,442 orang, sekaligus menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti ini tidak lagi menjadi pilihan.

Sebanyak 8,876 (66 peratus) ahli baharu yang mendaftarkan diri berumur 18 hingga 30 tahun. Manakala 2,676 (20 peratus) berumur 31 sehingga 40 tahun dan 1,890 (14 peratus) berumur 41 tahun ke atas. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit