Kongres Ekonomi Melayu Langkah Strategi Berkesan Demi Masa Depan Anak Bangsa – Hasry Sham

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Keputusan UMNO untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Melayu adalah amat tepat khususnya bagi melihat kembali kedudukan kaum Melayu dari segi jurang ekonomi berbanding kaum lain, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia Hasry Sham Chasmen.

Menurutnya, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal diadakan akan menjadi pemangkin bagi orang Melayu sekaligus dapat merapatkan jurang ekonomi yang terpisah jauh dengan bangsa lain.

“Dasar Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan hari ini dilihat mampu menjadi pemangkin ke arah merealisasikan visi dan misi Kongres Ekonomi Melayu, sekaligus menjadi satu strategi berkesan untuk meletakkan pencapaian Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam bidang ekonomi.

“Ianya sebagai satu cita-cita dan matlamat rakyat untuk mara ke hadapan supaya setanding dengan negara-negara maju yang lain dalam semua bidang. Ini memerlukan usaha dan kerjasama daripada semua golongan dan segala sumber, tenaga perlu digembleng sepenuhnya bagi mencapai cita-cita ini.

“Meskipun pelbagai dasar telah dirangka sejak merdeka untuk merapatkan jurang ekonomi Melayu khususnya dalam mengurangkan kemiskinan, namun perubahan serta peredaran zaman telah menuntut satu anjakan paradigma bagi mencari formula terbaik untuk memacu ekonomi Melayu ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana Kongres Ekonomi Melayu ini bakal dianjurkan oleh pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO agar dapat penambahbaikan ekonomi khususnya anak muda.

“Saya mengharapkan hasil kongres ini akan mewujudkan satu resolusi bagi penambahbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh bagi anak muda.

“Pelbagai idea yang baharu dapat diketengahkan oleh Pemuda dan Puteri UMNO bagi mempertingkatkan lagi kekuatan ekonomi bagi menangani ketaksamaan itu,” katanya lagi.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, tujuh perkara dipersetujui dan diluluskan bagi melaksanakan agenda yang diperjuangkan oleh parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.