Pertambahan Ahli Baharu UMNO: Parti Masih Miliki ‘Demand’ Anak Muda – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pendaftaran ahli baharu UMNO daripada golongan muda yang melibatkan 8,876 orang ataupun 66 peratus menunjukkan bahawa UMNO masih lagi memiliki demand golongan itu.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, angka ini membuktikan bahawa pertambahan jumlah pengundi muda meningkat saban tahun dalam UMNO.

“Jumlah keahlian UMNO sebanyak 8,876 orang atau 66% berusia antara 18-30 perlu ditanggapi dengan keinsafan. Dari sudut positif, kemasukan ahli baharu melambangkan UMNO masih memiliki demand dari kalangan orang muda.

“Tetapi angka ini belum membolehkan UMNO selesa kerana pertambahan pengundi muda sekitar 2.4 juta orang semasa Plihan Raya Umum (PRU) ke-15. Ini menunjukkan jurang yang besar antara ahli baharu di dalam parti dan pengundi baharu atas pagar.

“…dan realiti pasca PRU ke-14 menunjukkan jumlah keahlian yang besar bagi sesebuah parti kini belum mampu meraih undi terbesar,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO perlu menambah baik pendekatan komunikasi politik dengan kelompok pengundi terbesar.

“Justeru, langkah seterusnya untuk UMNO adalah menambah baik pendekatan komunikasi politik mereka dalam menjalinkan interaksi dengan kelompok pengundi terbesar.

“Kecelikan yang perlu ada bukan semata-mata penggunaan media sosial, tetapi kandungan yang menarik dan serta gaya penyampaian yang trendy perlu direncanakan untuk menembus lautan biru yang terbentang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anis Anwar turut melihat Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2023 baru-baru ini berkisarkan agenda pemerkasaan masyarakat Melayu, Bumiputera dan pengundi muda agar sokongan kumpulan terbesar kumpulan ini kembali kepada UMNO.

“Justeru, penekanan dalam Ucapan Dasar Presiden dilihat menitik beratkan agenda pemerkasaan masyarakat Melayu dan Bumiputera berserta pengundi muda agar sokongan kumpulan terbesar ini kembali beralih arah kepada UMNO.

“Antaranya penekanan terhadap Suruhanjaya Ekonomi Gig untuk ekonomi belia, Rancangan Felda 5.0 dan kebajikan penjawat awam. Sasaran ini bertepatan dengan golongan pengundi terbesar orang Melayu yang perlu diberikan perhatian serius oleh UMNO.

“Namun begitu, segala cadangan dasar menerusi PAU perlu diterjemahkan dalam bentuk penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan sekiranya UMNO mahu benar-benar meyakinkan pengundi Melayu kembali menyokong mereka,” katanya lagi.

Jumlah penambahan keahlian baharu UMNO dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023 adalah seramai 13,442 orang, sekaligus menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti ini tidak lagi menjadi pilihan.

Sebanyak 8,876 (66 peratus) ahli baharu yang mendaftarkan diri berumur 18 hingga 30 tahun. Manakala 2,676 (20 peratus) berumur 31 sehingga 40 tahun dan 1,890 (14 peratus) berumur 41 tahun ke atas. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.