Kongres Ekonomi Melayu Bakal Tingkatkan Kehidupan Anak Muda – Aliff Hilmi

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamad Aliff Hilmi berpandangan Kongres Ekonomi Melayu yang bakal diadakan oleh pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO adalah satu manifestasi kepada pelapis kepimpinan muda.

Ini kerana katanya Kongres Ekonomi Melayu akan dapat meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu khususnya anak-anak muda dan seterusnya turut memberi kesan pada negara.

“Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia sememangnya akan dilihat sebagai penyelamat dalam usaha membantu prasarana dan penaiktarafan kehidupan anak-anak muda di seluruh Malaysia.

“Dengan adanya Kongres Ekonomi Melayu ini secara tidak langsung akan dilihat sebagai usaha membela kehidupan mereka. Setidak-tidaknya dapat mengembalikan kekuatan dan kepercayaan kepada pelapis kepemimpinan orang muda di dalam UMNO untuk memimpin negara pada suatu hari nanti.

“Anak-anak muda terlalu lama menghadapi masalah ekonomi terutamanya yang bekerja di kawasan dalam bandar yang kita tahu saban hari kos sara hidup semakin meningkat tanpa ada jalan penyelesaian yang tuntas,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bukit Bendera turut beranggapan suara anak muda senantiasa bersama dengan UMNO dan tidak pernah sesekali mengabaikan suara mereka selama ini.

“Kita perlu faham iaitu banyak parti politik sekarang lebih retorik dalam aspek menangani isu ekonomi anak-anak muda tetapi tidak daripada UMNO malah parti ini tidak pernah mengabaikan suara-suara mereka yang inginkan menaikkan taraf ekonomi.

“Sudah semestinya akan berlaku penambahbaikan terutamanya kepada anak-anak muda kerana suara mereka bakal dibawa dan merangkumi secara menyeluruh resolusi penyelesaian masalah ekonomi yang senantiasa dibelenggu mereka,” katanya lagi.

Terdahulu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan akan diadakan Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Isu ini sangat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi, tekad yang lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.