Bawa ‘Mood’ PAU 2023 Ke Akar Umbi, Sama-Sama Muhasabah Bina Kekuatan Baharu – Fadzli

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal percaya dan penuh yakin ‘mood’ Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berakhir minggu lalu mampu menggamit satu kekuatan baharu kepada parti berkenaan terutama pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 khususnya berdepan dengan cabaran.

Menurut beliau apa yang penting dan yang utama masing-masing pelbagai peringkat perlu bermuhasabah dan sama-sama memperbetulkan segala kesilapan lalu agar ianya tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Betul…ungkapan kita senang sebut namun apa yang utama adalah bermuhasabah… soal ini amat penting sama sekali kerana ianya akan menentukan kekuatan parti nanti.

“Sebab itu saya tekankan soal ini dalam usaha membina kekuatan baharu. Paling penting bermuhasabah diri, betulkan kesilapan dan insya-Allah kita sama-sama membina kekuatan baharu parti.

“Insya-Allah ‘mood’ yang baik telah dicetuskan pada PAU 2023 maka dapatlah kita bawa ke kawasan masing-masing dan paling penting kongsikan dengan yang lain berhubung kerjasama yang telah dijelaskan oleh pimpinan parti,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah paling penting penjelasan berkenaan berterusan dan sejelas-jelasnya kepada masyarakat umum khususnya di kalangan ahli akar umbi.

“Jelaskan ke peringkat akar umbi  bahawa kerjasama politik kita bersama PH tidak sesekali mengurangkan semangat kita, fokus kita dan perjuangan kita dalam membela agama, bangsa dan negara.

“Malah kita sentiasa konsisten bahawa kerjasama ini jangan sesekali dicuba-cuba mahu menggugat kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan sebagainya lagi malah kita berpegang serta berpasak kepada perjuangan berkenaan.

“Jadi jangan risau UMNO tetap dengan pendirian serta konsisten bahawa kita tida lari daripada perjuangan yang kita warisi daripada perjuangan nenek moyang kita membela, agama bangsa dan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.