Kongres Ekonomi Melayu: Manifestasi Kepercayaan Kepada Pelapis Kepimpinan Muda

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO adalah satu manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepimpinan muda sebagai bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, isu ini amat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi dan tekad lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya.

“Saya berasa sungguh teruja apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang berlangsung baru-baru ini membawa momentum yang lebih segar. Rata-rata perwakilan yang hadir bertekad mahu bergerak ke hadapan dan membina kekuatan parti ke arah lebih baik.

“Saya telah mengumumkan bahawa satu Kongres Ekonomi Melayu akan diadakan bagi menghimpun isu-isu berkaitan ekonomi orang Melayu. Isu ini sangat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi, tekad yang lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut beranggapan bahawa ekonomi Melayu perlu diberikan tumpuan kerana ianya akan turut memberi kesan kepada negara.

“Pentingnya ekonomi Melayu diberikan tumpuan kerana apa-apa jurang dan ketidaksamaan ekonomi akan turut menjejaskan negara. Hal ini kerana Melayu/Bumiputera adalah kelompok etnik majoriti negara.

“Sekiranya isu ketidaksamaan ekonomi berterusan dan tidak ditangani secara menyeluruh, ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara keseluruhan kerana Melayu/Bumiputera mewakili sekitar 69.7 peratus (2021) populasi negara.

“Maka Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh sayap Pemuda dan Puteri UMNO adalah satu manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepimpinan muda sebagai bakal pemimpin negara pada masa akan datang. Saya juga telah meminta Timbalan Presiden untuk memantau perkara ini,” katanya lagi.

Jelasnya, beliau mengharapkan wujud sebuah resolusi untuk menambahbaik pelan ekonomi secara menyeluruh dan akan mengemukakannya kepada Perdana Menteri.

“Daripada kongres ekonomi tersebut saya berharap akan wujud sebuah resolusi untuk penambaihbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh. Kita mengharapkan pelbagai idea baharu dan di luar kotak bagi mempertingkatkan kekuatan ekonomi Melayu serta menangani ketidaksamaan tersebut.

“Resolusi dan pelan ekonomi ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan. Dengan suasana ekonomi baharu dan tidak menentu akibat perubahan iklim dan geo-politik dunia, suatu persediaan lebih rapi yang bakal menjadi game-changer kepada peningkatan ekonomi Melayu dan negara.

“Pada masa yang sama ‘quick-wins’ untuk menangani ekonomi semasa juga perlu diambil kira agar pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dapat direkayasakan untuk rakyat. Kita perlu sedar meskipun negara berjaya mengurangkan kemiskinan dan jurang ekonomi selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), namun jurang kekayaan masih tinggi. Kadar kemiskinan negara ialah 5.6 peratus manakala bandar ialah 3.8 peratus manakala di luar bandar ialah 12.4 peratus (2019),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar jurang kemiskinan perlu ditangani dengan dasar ekonomi yang lebih efisien.

“Begitu juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Purata pendapatan negara ialah RM 7,901 manakala bandar ialah RM 8,635, di luar bandar pula ialah sebanyak RM5,004 (2019).

“Jurang kemiskinan perlu ditangani bagi mengelak ketidakstabilan ekonomi, politik dan sosial. Jurang ekonomi yang tinggi diikuti literasi politik yang rendah akan mewujudkan kelompok Trumpism di Amerika Syarikat atau munculnya golongan politik memperalatkan golongan mangsa jurang ketaksamaan dengan retorik agama dan etnik. Sedangkan ia perlu ditangani dengan dasar ekonomi yang lebih efisien,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.