Wanita UMNO Hargai Semangat Begitu Jitu Ditunjukkan Perwakilan Sepanjang PAU 2023

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meluahkan penghargaan atas semangat yang begitu jitu ditunjukkan perwakilan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang lalu.

Beliau berkata penganjuran PAU kali ini ternyata membawa justifikasi tersendiri dalam menongkah arus gerakan parti demi kelangsungan perjuangan.

“PAU 2023 telah pun melabuhkan tirainya. Selama hampir empat hari kita berkampung di Pusat Dagangan Dunia dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bermula dari hari Rabu, 7 Jun 2023 dan berakhir pada hari Sabtu, 10 Jun 2023.

“Alhamdulillah dari bermulanya Taklimat Presiden, Majlis Perasmian Sayap-sayap, Perhimpunan Agung Wanita UMNO sehinggalah ke Ucapan Penggulungan Presiden, semuanya berjalan dengan lancar, dalam suasana yang harmoni dan kekeluargaan.

“Terima kasih diucapkan kepada seluruh perwakilan terutamanya perwakilan Wanita UMNO yang hadir dari seluruh negara yang turut berpartisipasi sepanjang perjalanan PAU 2023,” katanya.

Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada pemerhati dan media yang memainkan peranan penting kepada kemeriahan PAU seperti kelazimannya.

“Tidak dilupakan juga buat para pemerhati yang datang dari jauh dan dekat, walaupun tidak berada di dalam dewan, tetapi tetap setia mendengar setiap ucapan dan perbahasan.

“Buat rakan-rakan media, terima kasih juga diucapkan kerana turut menjadi medium penyampai untuk menyalurkan setiap intipati yang dibahaskan sepanjang PAU 2023 diadakan,” ujar beliau.

PAU 2023 yang telah berlangsung minggu lalu menyaksikan perwakilan daripada 191 bahagian hadir sebagai manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Penganjurannya pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.