Hasrat UMNO Anjur Kongres Ekonomi Melayu Satu Langkah Tepat – Aznan Tamin

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Aznan Tamin berpandangan keputusan UMNO untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Melayu merupakan satu tindakan yang tepat.

Menurut beliau hasrat berkenaan telah disuarakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO dan kemudiannya dipersetujui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya. 

Jelas Aznan, sudah pasti kongres ini akan dapat memberikan pelbagai manfaat untuk semua pihak khususnya terhadap perjuangan UMNO itu sendiri.

“Pandangan yang dilontarkan berkaitan soal tersebut adalah satu pandangan yang tepat kerana ianya dapat melihat satu kesefahaman yang baharu serta memberikan semangat dan menyakinkan bahawa UMNO masih relevan terhadap perjuangannya,” katanya kepada UMNO Online berkaitan hal terbabit.

Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat seterusnya berkata parti hari ini telah memperlihatkan satu perubahan yang besar di dalam kepimpinannya dan semangat yang ada ini perlu terus dilonjakkan lagi khususnya untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“UMNO telah berikan satu proses perubahan terhadap kepimpinan parti dan semangat yang ada harus dikekalkan serta diteruskan sehingga Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya.

Beliau seterusnya berharap para perwakilan yang hadir dalam PAU 2023 menggunakan ruang yang bernas dalam usaha mengukuhkan parti sekaligus meletakkan kejayaan pada PRN nanti.

“Kita berharap perwakilan sayap bukan sahaja dapat memberikan semangat malah idea yang bernas bagi menghasilkan kejayaan untuk PRN nanti supaya ianya kelak dapat memastikan UMNO ini terus kekal relevan dan mampu mempertahankan hak-hak mengikut Perlembagaan yang sedia ada,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.