Tiada Parti Dominan, Kerajaan Perpaduan Perlu Diterima Demi Manfaat Rakyat – Norliza

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Keterbukaan UMNO dalam menjalin kerjasama dengan parti lain perlu dinilai demi pengukuhan dan kestabilan kerajaan.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata langkah tersebut perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita kena buka minda tidak boleh fikir hanya parti dominan boleh memerintah… sudah sampai masanya kena sedar bahawa rakyat sudah matang dan perlukan Kerajaan Perpaduan.

“Buat masa ini fokus utama UMNO adalah bekerjasama dengan sebanyak mana parti yang boleh, membentuk sebuah kerajaan stabil.

“…kerana hanya kestabilan ini boleh menjamin ekonomi negara, barulah pelabur akan mula melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada perjalanan Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung dengan jayanya bermula 7-10 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang turut menambah bahawa negara luar juga sudah lama mempraktikkan pembentukan Kerajaan Perpaduan manifestasi kepada kematangan rakyat mereka.

“Sudah sampai ke satu tahap di mana rakyat Malaysia sudah matang dalam politik dan ini berlaku di negara luar-luar.

“Banyak negara-negara luar yang telah mempraktikkan Kerajaan Perpaduan, ini bukan sesuatu yang mustahil kerana Malaysia telah mula menuju ke arah tersebut,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.