UMNO Utamakan Agama, Pendidikan Dan Ekonomi. – Afiq Najmuddin

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Wakil Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Afiq Najmuddin Zul Majid berkata UMNO sememangnya sebuah parti keramat yang mempertahankan hak-hak orang Melayu dan termaktub dalam perlembagaannya.

Menurutnya berdasarkan sebagai intipati dalam ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat jelas terbukti parti ini memperjuangkan agama, memberikan pendidikan dan sebagainya.

“UMNO sebagai parti keramat kerana parti pertama yang menggabungkan semua umat Melayu yang berlatarbelakangkan agama, ekonomi, pendidikan tinggi dan seterusnya menjadikan Malaysia ke arah kemerdekaan.

“Tugas kami (pelajar) di luar negara sebagai duta kecil dan ianya cukup penting bagi menjawab segala isu-isu semasa berkenaan politik hari ini.

“Alhamdulillah… dengan kestabilan yang dibawa oleh UMNO dapat memacu negara bergerak ke hadapan terutamanya kemakmuran, keselamatan rakyat dan keharmonian dikecapi selama ini,” katanya.

Afiq berkata demikian sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu. 

Afiq yang juga Presiden KULN Mesir menjelaskan penubuhan Kerajaan Perpaduan disebabkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan bukannya perjanjian individu.

“Penubuhan Kerajaan Perpaduan ini bukanlah perjanjian dengan individu tetapi dipersetujui oleh 19 Presiden parti dengan kebijaksanaan Yang di Pertuan Agong.

“Bagi anak muda yang berada di luar negara konsep Kerajaan Perpaduan ini kebanyakannya mereka tidak memahaminya. Sebagai contoh, pelajar Malaysia yang terlibat dengan Kelab UMNO sudah pasti mereka memahami konsep ini tetapi bagaimana mereka yang tidak bersama, mereka tidak tahu keadaan sebenar.

“Oleh itu kepimpinan UMNO dapat memainkan peranan dalam menjelaskan perkara ini kepada akar umbi dan seterusnya dapat kami sambut untuk memberi pencerahan kepada mereka yang berada di perantauan,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau memohon jasa baik pimpinan UMNO mengadakan lawatan kepada pelajar-pelajar di luar negara dan memberikan penjelasan.

“KULN mohon untuk pimpinan-pimpinan UMNO kerap melakukan lawatan ke luar negara bagi mengetahui dan menjelaskan keadaan semasa atau ramah mesra bersama warga Malaysia. Lawatan ini mampu menarik minat dan terasa begitu dihargai,” tegasnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit