UMNO Bertanggungjawab Pulihkan Semula Sokongan Orang Melayu – Noor Azleen

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Setelah menghadapi beberapa siri episod penolakan rakyat, UMNO perlu bertanggungjawab untuk memulihkan semula sokongan orang Melayu terhadap parti terutamanya dalam menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, punca kejatuhan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada beberapa siri PRU lepas adalah disebabkan parti kehilangan sebahagian besar kepercayaan orang Melayu.

“Punca UMNO kecundang ke tahap yang begitu kritikal pada hari ini adalah kerana kita hilang kepercayaan sebahagian besar orang Melayu di negara ini. Selama ini, UMNO pernah melalui pelbagai episod pasang surut politik sepanjang sejarahnya.

“Tetapi ia masih bertahan kerana didukung oleh sebahagian besar orang Melayu. Hari ini, UMNO berada di kedudukan yang paling membimbangkan dan kritikal. Memetik kata-kata Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, UMNO telah tewas dengan dahsyat secara berturut-turut,” kata wakil negeri Johor itu ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang berakhir Sabtu lalu.

Jelasnya, UMNO turut dilihat meninggalkan wadah penyatuan terbesar orang Melayu dengan memilih untuk bersama-sama dengan seteru politik pasca PRU ke-15 lalu.

“Setelah melalui penolakan besar-besaran dalam PRU yang lalu, UMNO dilihat terus meninggalkan wadah penyatuan terbesar orang Melayu dan memilih untuk bersama-sama dengan seteru politik yang mewakili agenda dan nilai yang berbeza-beza, telah menimbulkan keresahan ramai orang Melayu.

“Maka, persoalan terbesar yang perlu dijawab oleh UMNO adalah mengapa kita masih berhak untuk menerima ihsan, sokongan dan dukungan orang-orang Melayu? Adakah UMNO masih menjadi sandaran harapan oleh orang Melayu kebanyakan? Adakah suara kita ini benar-benar mewakili suara majoriti orang Melayu di luar Dewan Merdeka ini?

“Apa jua kedudukan, keistimewaan dan kelebihan sementara yang dinikmati oleh UMNO di dalam kerajaan hari ini, UMNO Johor mengingatkan agar ia tidak sekali-kali melupakan bahawa kita akan pengajaran terbesar daripada siri-siri PRU yang lalu. Tidak ada kuasa dan kekuatan yang boleh menyelamatkan mana-mana tokoh, parti atau institusi, sekiranya ia ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu,” katanya lagi.

Menurut Noor Azleen yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, UMNO perlu beristiqamah dalam mencari solusi dalam menjayakan pelbagai agenda Melayu.

“UMNO tidak mungkin akan hidup jika terus ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu. Untuk itu, menguruskan Melayu yang sifatnya semakin moden, terbuka, Islamik dan juga maju pemikirannya itu adalah cabaran kita.

“Konsisten dan istiqamah dalam mencari solusi menjayakan pelbagai agenda Melayu maju itu fardhu menjadi ijtihad kita. UMNO perlu memperbaharui kefahamannya tentang erti agenda Melayu melalui pendekatan islah atau pembaharuan secara berterusan dan konsisten,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebab untuk UMNO gagal mengembalikan sokongan orang Melayu lebih-lebih lagi apabila parti keramat itu kini berada bersama Kerajaan Perpaduan.

“Agenda Melayu bukan lagi bererti menjadi suara paling lantang. Bukan memainkan isu-isu perkauman. Bukan menjadi populis dan menjadi jaguh jalanan.

“Dengan segala kepentingan yang dipertaruhkan, kekuatan dan perkakasan yang dikuasai oleh UMNO di dalam kerajaan, tidak ada sebab sebenarnya untuk UMNO gagal menjuarai orang Melayu.

With everything at stake, and so much at our disposal, there is no reason why UMNO should fail the Malays this time. Kita punya tanggungjawab untuk pastikan UMNO ini kembali ke pangkuan dan dakapan orang Melayu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.