Kerajaan Perlu Iktiraf Peranan Wanita Suri Rumah, Beri Gaji Bawah Pendapatan Asas

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Pembahas dari Melaka, Datuk Kalsom Nordin menyeru kerajaan untuk memperkenalkan gaji untuk para ibu yang menjadi suri rumah di bawah pendapatan asas universal.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengiktiraf peranan ibu yang menjadi suri rumah, menjaga rumah tangga dan membesarkan anak-anak sebagai sumbangan kepada masyarakat daripada aspek sosial dan ekonomi.

“Oleh itu, mereka wajar diberikan gaji bulanan. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan dan beban terhadap suami.

“Sekaligus memberi isteri semangat dan keyakinan diri. Selaras dengan dasar kerajaan untuk memberi bayaran Sumbangan Tunai Rahmah 2023 bermanfaat kepada seramai 8.7 juta penerima dengan jumlah peruntukan hampir mencecah RM8 billion,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Khamis.

Dalam pada itu penyokong Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Zaitun Ab Rahman berharap kerajaan komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di samping meningkatkan daya saing perniagaan sebagai persediaan mengukuhkan daya tahan negara bagi menghadapi cabaran mendatang.

Katanya, program memperkasaan membabitkan usahawan desa dengan latihan kemahiran melalui FAMA, Risda, MARDI, MARA dan kolej-kolej kemahiran seperti Kolej Komuniti perlu dilakukan bagi memberikan pendedahan sewajarnya kepada golongan wanita.

“Melibatkan lebih ramai wanita desa dalam latihan kemahiran seperti latihan etika dan kecantikan, latihan pembuat pakaian, penyediaan pastri, pengeluaran kraftangan, latihan asas pertanian dan sebagainya.

“Dengan segera wujudkan unit kemahiran digital di setiap bahagian supaya tiada wanita yang ketinggalan dari maklumat dan menggunakan platform ini untuk menjana ekonomi,” ujar beliau

Mengulas lanjut berkenaan agenda memartabatkan wanita, beliau juga berharap untuk diperbanyakkan latihan Pendidikan dan Kemahiran khususnya untuk mereka yang tinggal di kawasan desa.

Katanya, dengan menganjurkan program seumpama ini ianya sebagai persediaan ke arah memperkasa generasi pelapis dan menyantuni golongan kini.

“Kita juga kini dilihat lebih hebat dan kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran dan liku kehidupan. Kehebatan wanita di lihat dalam pelbagai bidang yang diceburi,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.