UMNO Terengganu Berharap Tabika Tahfiz Jadi Pilihan Pertama Rakyat – Pehimi

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pembahas Terengganu Datuk Muhammad Pehimi Yusof menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas hasrat mewujudkan pra tahfiz Taman Bimbingan Kanak- kanak (Tabika) Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS).

Menurutnya inisiatif ini bermakna kerana ianya bakal melahirkan hufaz cilik di seluruh negara di usia lima hingga enam tahun.

“Alhamdulillah dan terima kasih dalam ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu untuk mewujudkan pra tahfiz tabika KEMAS sebanyak 100 kelas di seluruh negara dengan 10 kelas sebagai ‘pilot’ projek yang mana guru-gurunya telah pun dihantar untuk berkursus bagi memastikan anak-anak tadika KEMAS yang berjaya khatam Al-Quran di di usia lima hingga enam tahun.

“Hasrat kami hendak melihat tadika KEMAS ini menjadi pilihan pertama rakyat, berbanding tabika-tabika lain termasuk Pusat Asuhan PASTI yang diwujudkan oleh Pas,” katanya ketika sesi pembahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Dalam masa yang sama Pehimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut merasa bangga apabila gerakan gelombang biru kembali bergema di Terengganu.

“Laungan gelombang biru adalah manifestasi kebangkitan rakyat ketika kami mengalami kekalahan pada PRU (Pilihan Raya Umum) 1999. Meskipun keadaan politik yang sudah berubah, gelombang biru tetap mempunyai rohnya yang tersendiri.

“Saya sangat optimis dengan gerakan gelombang biru 2.0 akan menjadi strategi politik yang baharu dan adalah tidak mustahil Barisan Nasional (BN) dan UMNO kembali berkuasa di Terengganu,” jelas beliau.

Sementara itu beliau mengharapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini pucuk kepimpinan di peringkat parti atau Kerajaan Perpaduan lebih berhemat dalam mengeluarkan kenyataan politik serta memantau keadaan politik di peringkat Pusat.

“Sebenarnya sangatlah penting kerana sehebat mana pun strategi dan sehebat mana pun percaturan semuanya akan menjadi tidak bermakna jika berlaku isu-isu politik di peringkat pusat. PRN di Terengganu bukan sahaja soal maruah dan masa depan UMNO, tetapi demi masa depan rakyat Terengganu.

“Kami akan berjuang habis-habisan atas nama tersebut kerana apa yang kita mahukan bukan sahaja UMNO dan BN kembali memerintah tetapi nasib setiap rakyat Terengganu akan terus terbela kebajikan serta nasib masa depan mereka terjamin,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.