Persidangan Pemuda Dihadiri 80% Muka Baharu, Bawa Idea Segar Implikasi ‘Rumah Kita Cara Kita’

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang berlangsung pada Khamis lalu menyaksikan sebanyak 80 peratus kehadiran muka baharu pada persidangan tersebut.

Ketuanya, Dr Mohamad Akmal Saleh berkata kehadiran mereka yang membawa kesegaran baharu kepada sayap parti ini bertepatan dengan tema ‘Rumah Kita Cara Kita’ pada persidangan tersebut.

“PAU (Perhimpunan Agung) Pemuda ada 1,160 perwakilan yang hadir pada kali ini yang melibatkan 190 bahagian seluruh Malaysia dan kita sedia maklum kali ini agak berbeza sedikit sebelum PAU sebelum ini.

“…iaitu hampir 75 hingga 80 peratus perwakilan yang hadir adalah daripada muka baharu maksudnya mereka bukan dari Pemuda sebelum ini, kerana Pemuda ini umurnya sampai 40 tahun.

“Mereka ini datang dengan fikiran yang segar sebab itu tema ungkapan persidangan dan juga dasar yang hendak kita buka untuk Pemuda UMNO adalah Rumah Kita Cara Kita untuk kita tetapkan nada perjuangan Pemuda UMNO ke mana hala tuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Laman Media bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, semalam.

Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu berkata Pemuda perlu berada dalam ruang lingkup yang luas bagi memahami denyut nadi orang muda mengikut situasi sebenar.

“Sudah pastinya Pemuda pada kali ini perlu berani ke depan untuk menyatakan isu sebenar yang terjadi di bawah bukan kerana kita hendak menentang mana-mana kepimpinan tetapi untuk kita tahu isu sebenar.

“Jika ada kekurangan kita boleh baiki dari semasa ke semasa sebab cabarannya lebih besar UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini dengan undi orang muda,” katanya.

Menurut Dr Akmal kaedah itu amat penting kerana menyedari bahawa masa depan UMNO akan ditentukan oleh golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya UMUM ke-16 (PRU16).

“Sudah tentu sebenarnya kekuatan dan punca kemenangan UMNO pada PRN dan PRU16 adalah pada orang muda.

“Jadi sebab itu Pemuda membawa satu momentum dan juga aura baharu Rumah Kita Cara Kita dan Pemuda kena berani, taat dan setia kepada perjuangan yang ada,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.