PAU2023: Pembahas Kedah Gamatkan Suasana Buat Para Perwakilan Tidak Kering Gusi

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang bertindak selaku pembahas wakil negeri Kedah telah menggamatkan suasana Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) ketika sesi perbahasan semalam sehingga para perwakilan tidak kering gusi.

Ketika sesi perbahasan tersebut berlangsung, suasana turut dimeriahkan dengan Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruddin yang ‘mengacau’ pembahas untuk menyelesaikan tugas.

Namun di sebalik peristiwa humor yang berlaku ketika persidangan tersebut, Muhamad Khizri turut menyampaikan beberapa isu penting yang dihadapi parti pada ketika ini.

“Dinamika politik kita telah berubah bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sehingga PRU ke-15. Saya kasihankan para pimpinan UMNO Malaysia terutamanya Presiden yang kena hentam teruk disebabkan Kerajaan Perpaduan ini.

“… yang cakap depan Datuk Seri Zahid tu, dia cakap sahaja. Apabila di belakang dia mengata. Sama ada di Malaysia yang terbaharu di Thailand kemudian di Turkiye, semua pilihan raya itu tidak ada lagi parti dominan boleh membentuk kerajaan.

“Tidak akan ada lagi parti tunggal yang akan menjadi kerajaan. Jadi, kita kena terima hakikat itu. Kita jangan mendabik dada mengatakan ini kerajaan total, kita akan memerintah selamanya,” katanya ketika sesi perbahasan tersebut.

Sesi perbahasan yang berlangsung selama 46 minit itu ternyata mendapat sambutan luar biasa kerana mempunyai lebih 60, 000 jumlah tontonan di YouTube UMNO Online dalam masa kurang dua puluh empat jam.

Seramai 19 orang pembahas telah berucap pada persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 ini termasuk wakil dari negeri-negeri, Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, Veteran, UMNO Siswa dan Kelab UMNO Luar Negara.

Pelbagai isu telah dibawakan oleh para pembahas termasuklah mengenai Kerajaan Perpaduan dan pengukuhan UMNO yang mampu menyuntik semangat perwakilan untuk meneruskan perjuangan parti keramat Melayu itu. – UMNO Online

Untuk menonton video klip penuh perbahasan tersebut, sila klik di sini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.