Ini UMNO… Rumah Kita, Keluarga Kita, Biarlah Kita Bercakap – Azalina

KUALA LUMPUR, 11 Jun – “Kadang-kadang kita nak bercakap tentang keluarga kita, rumah kita, orang kita, parti kita jadi biarlah kita bercakap.”

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika memberikan pandangan berkaitan program UMNO yang ada antaranya dilakukan secara tertutup khas untuk ahli-ahli UMNO sahaja.

“Kita bercakap secara naratif umum pun tak boleh, pun nak dikawal, pandangan kita nak dikawal. Ini UMNO, rumah kita jadi hal kita, cara kita biarlah kita pilih,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk ‘Misi Menang Menang’ yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook UMNO Online, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, semalam.

Beliau berkata Penerangan UMNO Malaysia bukan berkaitan kepimpinan di atas tetapi sebaliknya adalah terhadap ahli-ahli dan jentera penerangan di bawah.

“Ini adalah mereka. Berjayanya Penerangan UMNO Malaysia adalah berjayanya mereka di akar umbi. Kalau kita sebagai pemimpin yang jaga adalah tentang diri kita jadi bagaimana parti kita nak kuat, tak berkembang.

“Jadi kita kembangkan dan cari muka-muka baharu. Bukan semestinya muka baharu itu orang muda tapi mereka yang boleh memberi memberi pandangan dan memberi idea kepada persepsi baharu di akar umbi untuk perkuatkan UMNO,” katanya.

Dalam hal ini beliau menyorot kepada sesi ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ yang berlangsung dengan jayanya pada Rabu lalu dengan membariskan tiga Naib Presiden sepentas iaitu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani di samping Azalina sendiri sebagai moderator.

“Kita melihat Naib Presiden memang aset kepada parti dan bukan hanya semasa musim pemilihan saja. Presiden dan Timbalan Presiden memang kita tahu ada nilai-nilai kepimpinan dan karektoristiknya tapi Naib-naib Presiden kita ini dua muka baharu dan seorang lagi walaupun orang lama tetapi jarang-jarang bersuara dan bersuara pun dalam program-program yang berbeza, tidak bersekali.

“Kita nakkan supaya jentera penerangan UMNO Malaysia seluruh negara, dari sayap dan negeri seramai 808 orang ini dapat rasa apa respon sebenarnya dengan satu kelainan dalam ‘townhall’ sebelum sesi Taklimat Presiden; ada idea-idea dari mereka yang disebut sebagai ‘top 5’… yang setiap daripada mereka ini mempunyai sokongan yang begitu kuat dalam parti yang ramai ahlinya,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa sesi ‘Townhall Penerangan UMNO’ akan dibawa ke peringkat negeri dengan dilaksana sebelum konvensyen dilakukan.

“Ini satu budaya yang baharu yang mungkin akan diteruskan dalam setiap PAU dan jika ada konvensyen di setiap negeri akan dibuat sebelumnya di peringkat penerangan,” katanya.

Terdahulu dalam temubual ini beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) sekali lagi memberikan penjelasan berkaitan isu tuntutan Sulu dan pentingnya mempertahankan kedaulatan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.