UMNO Bangkit… Tidak Ada Yang Mustahil, Namun Perlukan Usaha Keras Segenap Pihak

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beranggapan bahawa tidak ada yang mustahil untuk parti kembali berkuasa di tampuk kerajaan namun ianya memerlukan usaha keras dari segenap pihak.

Dengan membentangkan statistik kerusi yang dimenangi UMNO sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 sehingga ke PRU ke-15, beliau menegaskan bahawa semua peringkat kepimpinan harus bertanggungjawab di atas penolakan rakyat yang berlaku secara beransur-ansur.

“Saya melihat perbahasan hari ini, saya menjadi lebih yakin apabila saya melihat semua perwakilan percaya bahawa UMNO akan kembali berkuasa. Tetapi sebelum itu, saya mahu perwakilan lihat statistik ini untuk kita sama-sama membuat analisis.

“Pada PRU ke-11, kita menang 109 parlimen tetapi apabila PRU ke-15 kita menang hanya 26. Apabila kita berhadapan dengan situasi kerajaan tidak boleh diwujudkan, maka presiden parti telah buat keputusan bahawa kita kena bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) semata-mata untuk memastikan bahawa negara kita ini terus ada kerajaan.

“Sebenarnya semua daripada kita ini perlu bertanggungjawab sama ada ‘top-5’ ke, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke, Ketua Bahagian ke, Timbalan Ketua Bahagian ke, semua daripada kita ini bertanggungjawab,” katanya pada sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Jelasnya, beliau mahu melihat bagaimana para perwakilan yang hadir, ahli dan akar umbi menyusun strategi dalam tempoh empat tahun setengah ini bagi memperbaiki semula kedudukan parti.

“Dalam masa 19 tahun kita diamanahkan menjaga parti ini, hanya sehingga tinggal 26 Parlimen sahaja. Kalau ikut logik macam pembahas Kedah sebutkan tadi, memang tidak logik 191 bahagian, 3.5 juta ahli, 21,000 cawangan, infrastruktur terbesar dalam negara kalau kita bandingkan dengan mana-mana parti politik.

“Saya nak tuan-tuan dan puan-puan melihat bagaimana kita menyusun strategi kita dalam tempoh empat setengah tahun akan datang. Apabila tiba 2027 bagaimana kita reverse figures kita ini menjadi sebuah parti yang boleh memperbaiki balik kedudukan kita dan Insya-Allah kalau tidak 2027, kita dapat menambahkan undi sehingga 2032, kita balik semula ke tempat asal kita,” katanya lagi.

Menurut Johari lagi, tiada yang mustahil namun bagi kembali meletakkan UMNO/Barisan Nasional (BN) di tempat teratas, semua ahli dan akar umbi perlu mempunyai mentaliti untuk menang.

Nothing impossible tetapi dengan syarat semua daripada kita ini sayang kepada parti. Kalau kita nak menang, semua daripada kita perlu menanamkan dalam jiwa winning mentality. Pertama, kita kena fikir macam orang nak menang.

“Kedua, kita mesti bercakap macam orang nak menang dan kita mesti melaksanakan juga macam orang nak menang. Mentaliti untuk menang ini sangat penting bukan sahaja kepada ‘top-5’, MKT, Ketua-ketua Bahagian tetapi kena sampai kepada cawangan-cawangan dan sayap-sayap,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Johari turut berpandangan bahawa tiga faktor utama iaitu parti, calon dan jentera amat penting untuk menentukan nasib UMNO parti keramat ini.

“Saya berpandangan untuk menang ini tiga faktor yang sangat penting iaitu parti, calon, jentera. Kalau kita tidak ada parti yang bagus agak sukar. Barisan Nasional (BN) kalau kita jaga parti ini, itu salah satu daripada langkah untuk kita menang.

“Kedua, kita mesti ada jentera yang mantap di setiap tempat kita bertanding ini, kalau kita ada parti yang bagus tetapi tidak mempunyai jentera yang bagus kita tak boleh juga menang. Ketiga, sudah tentu kita memerlukan calon yang bagus,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.