Tekad Wanita Sebagai Tulang Belakang Parti, Terus Khidmat Bakti Meskipun Berdepan Cabaran

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pembahas mewakili Wanita UMNO Malaysia, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meluahkan tekad Wanita yang sinonim sebagai tulang belakang untuk tetap melaksanakan khidmat bakti meskipun berdepan cabaran politik negara.

Jelas beliau, Wanita membuktikan bahawa tugas kebajikan itu bukan hanya ketika parti dalam kedudukan kerajaan namun juga sebagai pembangkang hingga hari ini iaitu sebahagian daripada kerajaan.

“Kita tetap mendukung tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Percayalah UMNO akan kembali menjadi harapan rakyat dan tempat bergantung, mengadu nasib, merintih dan meminta pertolongan… insya-Allah.

“Wanita sedar bahawa peranan dan tanggungjawab tergalas bukan sedikit malah kini kupayaan jentera wanita dan Jalinan Rakyat adalah antara penyumbang kepada usaha menggempur golongan pengundi usia 40 tahun ke atas.

“Memang tak dinafikan anak muda penting tapi jangan pula ketepikan golongan usia emas. Jangan kerana zaman teknologi, zaman Tik Tok, Instagram, Facebook maka dianggapnya golongan berusia dah tak relevan.

“…yang berlaku telah berlalu, yang akan datang pelbagai lagi cabaran, yang lepas jadikan tauladan, yang di dean marilah kita sama merancang,” katanya.

Sharifah Azizah berkata demikian pada hari kedua sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang turut berharap sentimen Wanita yang dijadikan sebagai bahan politik untuk dihentikan.

Jelas beliau ini kerana, kekuatan Wanita di gelanggang setara dengan lelaki malah permasalahan berkaitan kehidupan menjadi perjuangan Wanita UMNO sejak penubuhannya hinggalah ke hari ini.

“Wanita ini hatinya halus, mudah tersentuh maka sememangnya denyut nadi rakyat amat dirasai, kelembutan wanita menjadi penawar dan kecemburuannya memang sukar.

“Wanita mampu bekerja kerana kami mempunyai daya untuk bekerja. Wanita ini banyak idea malah yakin mampu menyumbang ke arah mengembalikan sokongan rakyat kepada parti. Kami terlibat dari setiap inci ruang sudut sama ada di rumah hinggalah kepada pembangunan dan kemajuan negara.

“Sehubungan itu, Wanita ingin menyeru para perwakilan sekalian termasuklah diri saya sendiri, dari akar umbi hinggalah ke peringkat kepimpinan tertinggi agar kita terus kekal kukuh bersama-sama. Bukan sahaja dalam perhimpunan ini, tetapi juga untuk hari-hari seterusnya agar kesinambungan perjuangan dapat terus diwariskan kepada anak cucu kita kelak. Yakinlah kegagalan hari akan dapat kita tebus kembali,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.