PM Setuju Secara Dasar Penubuhan SEGiM – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara dasarnya telah bersetuju dengan saranan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Suruhanjaya ini bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja sehingga kepada pengguna.

“Saya sebutkan bahawa sebanyak 1.12 juta (pemain) yang terlibat di dalam industri ini (setakat ini) dan peningkatannya sebanyak 23 peratus setiap tahun,” katanya pada ucapan penggulungan presiden pada Perhimpunan Agong UMNO 2023 di sini hari ini.

Terdahulu di dalam ucapan dasarnya pada Jumaat, Ahmad Zahid berkata sektor ini kian berkembang pesat yang mana lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah anak muda.

“Justeru, jangan kita mengetepikan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multibilion, sehingga mencecah RM52.4 bilion pada 2020 sahaja, malah dijangka berkembang pada kadar 23 peratus setiap tahun,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata penubuhan SEGiM akan memberi sinar baharu kepada peserta ekonomi gig serta pengusaha Grab, LalaMove, Food Panda dan lain-lain.

“Ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ini ke luar negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.