Mohamad Umpamakan UMNO Pohon Besar, Jangan Ditebang Atau Dibunuh

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengibaratkan UMNO seperti sebuah pohon besar yang menjadi naungan selama ini bukan sahaja kepada ahli tetapi rakyat secara keseluruhannya.

Pesannya, jangan ada sesiapa yang telah menikmati hasil, berlindung dan membesar di bawahnya hendak membunuh atau menebang pokok itu.

“Mari kita tinggalkan benih untuk generasi akan datang agar ia menjadi tempat mereka berlindung. Pohon yang akan membesar tempat anak cucu kita untuk masa depan berlindung dari hujan dan panas. Kalau berbuah, buahnya boleh dimakan bersama. Kalau hujan petir di situlah mereka berteduh, kalau panas di situlah juga mereka berteduh.

“Pokok yang besar ini sudah ramai yang makan buahnya dan nikmati hasilnya. Ramai juga yang sudah tidak memerlukan pokok ini tetapi janganlah yang telah menikmati hasil, berlindung dan membesar di bawahnya kita hendak bunuh dan tebang pokok ini.

“Ramai lagi anak cucu kita esok nak makan, berteduh. Maka tugas kita mari kita sirami pokok yang melindungi kita selama ini dan yang telah beri kita makan untuk kita hidup. UMNO ini pokok yang besar tempat kita berlindung menaruhkan harapan masa depan,” katanya ketika berucap di sesi penggulungan Perhimpuan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini petang tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut berpesan kepada semua ahli terutama pemegang jawatan agar tidak berselisih faham antara satu sama lain.

“Runding jangan selisih, muafakat jangan bercanggah. Makanya muafakat itu punca selamat dan sengketa itu punca celaka.

“Janganlah kita berselisih-selisih, bercanggah-canggah kerana matlamat kita hendak bangun semula. Kita dah dihukum kalah dua pilihan raya berturut-turut merosot sokongan kepada kita.

“Untuk kita bangun semula sediakan satu hamparan kepada anak cucu kita,” katanya.

Berhubung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, Mohamad berkata lebih kurang enam minggu dari sekarang untuk menghadapinya dan dijangka berlaku pada hujung Julai atau awal Ogos tahun ini.

“Kita telah meletakkan negeri angkat untuk membantu negeri yang menghadapi pilihan raya. Ini kita mesti misi untuk meningkatkan, mempertahankan maruah dan martabat.

“Maka, mari kita sama-sama teruskan tekad untuk kita pastikan dapat kemenangan yang boleh kita banggakan. Yang penting di kawasan jika susun atur jentera dengan elok dan buat sebaik mungkin, insya-Allah orang boleh nampak kesungguhan kita.

“Dan elakkanlah berselisih faham membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan orang,” pesannya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.