Dr Sheikh Muszaphar Beri Sumbangan Kepada Tabung Pendidikan Melayu, Hargai Pendekatan UMNO

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Yayasan Angkasawan Negara menghargai pendekatan UMNO yang menubuhkan Tabung Pendidikan Melayu bagi membantu pelajar yang memerlukan pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran.

Cakna dengan tabung tersebut, Presidennya, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyampaikan sumbangan sebagai simbolik kepada tekad yayasan itu dalam membantu anak-anak Melayu dalam pendidikan mereka.

“Alhamdulillah saya diberitahu UMNO menubuhkan Tabung Pendidikan Melayu jadi saya begitu semangat mendengarnya.

“Inilah yang kami juarakan untuk pendidikan anak-anak Melayu, ramai anak Melayu yang tidak mahu belajar bukan sebab malas tetapi tidak mampu dan sebagainya.

“Jadi kami memberi sumbangan kepada Tabung Pendidikan Melayu dengan harapan dapat membantu anak-anak Melayu sampai ke menara gading,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah berkesempatan bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi usai ucapan dasar disampaikan pemimpin itu pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka sambil menyampaikan sumbangan tersebut.

Dr Sheikh Muszaphar dalam pada itu turut sama berharap dapat menggunakan platform diwujudkan UMNO fokusnya dalam pendidikan.

“Alhamdulillah dapat berjumpa namun yang penting idea-idea mereka bagi saya begitu bersemangat untuk anak-anak muda jadi banyak plan dan program dirangka untuk golongan ini.

“Jadi saya harap Yayasan Angkasawan Negara dapat membantu menerajui pendidik anak-anak Melayu melalui platform UMNO,” ujar beliau.

UMNO pada Rabu melancarkan Tabung Pendidikan Melayu bagi membiayai pendidikan pelajar Melayu dan bumiputera yang memerlukan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tabung berkenaan akan diaudit oleh pihak yang bertauliah, bagi memastikan ketelusan penyampaian bantuan terbabit dan akan dibentangkan secara terbuka kepada semua pihak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit