PAU 2023: Sebanyak 531 Media Berdaftar, Sokong Acara Tradisi Parti

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Sebanyak 531 media berdaftar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 ini dan ianya merupakan satu sokongan yang hebat kepada acara tradisi parti.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, PAU merupakan sebuah program yang sudah semestinya menjadi perhatian masyarakat setiap kali ianya berlangsung.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakan media. Saya dimaklumkan bahawa pada kali ini terdapat 531 media yang berdaftar dan ini adalah merupakan satu sokongan hebat

“Apa yang berlaku pada UMNO dan PAU kali ini merupakan satu program yang sudah tentu ingin diketahui dan berada bukan sahaja dihati rakyat tetapi menjadi sesuatu yang dicari oleh rakan-rakan media semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Laman Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, tengahari tadi.

Jelasnya, PAU kali ini dihadiri oleh 2,891 perwakilan dari 191 bahagian termasuk 808 ketua penerangan bahagian dan sayap yang baharu sahaja menjadi perwakilan secara automatik tahun ini.

“Banyak kandungan (content) yang boleh dihasilkan sepanjang PAU kali ini dan seperti kita tahu bahawa ianya tidak bermula daripada hari perasmian yang diadakan esok. Sebenarnya ia bermula hari Selasa, banyak side event sudah pun berlangsung.

“Ini adalah merupakan tradisi yang diadakan di dalam parti besar yang bernama UMNO ini. Untuk makluman semua, kali ini terdapat 2,891 perwakilan hadir daripada 191 bahagian seluruh negara.

“Kali ini ada tambahan sebanyak 808 orang kerana buat pertama kalinya semua ketua penerangan bahagian termasuk sayap-sayap telah menjadi sebahagian daripada perwakilan yang ada pada kali ini,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Shabery lagi, orang ramai khususnya rakyat sudah semestinya mahu mengetahui hala tuju parti lebih-lebih lagi setelah UMNO/BN bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya bahawa saudara-saudari sekalian bukan hanya melihat konten tetapi juga sudah tentu ramai yang ingin melihat ke mana hala tuju UMNO kali ini.

“Sebahagian daripada kita sudah tentu telah mengikuti ucapan Timbalan Presiden UMNO semalam dan pada pagi ini semua sayap sudah mula mengemukakan hujah mereka di persidangan sayap.

“Perkara yang besar kali ini ialah hala tuju parti selepas ini, ke mana kita terutamanya selepas menyertai Kerajaan Perpaduan, di manakah peranan yang boleh dimainkan oleh UMNO dalam konteks scnario dan lanskap politik semasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa PAU kali ini akan diadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi meminda beberapa perlembagaan parti.

“Semasa PAU ini juga akan diadakan EGM untuk memutuskan beberapa perkara mengenai perlembagaan dan peraturan parti. Ini adalah sebahagian daripada sistem.

“Sudah tentu paling menarik ialah perbahasan yang akan dikemukakan oleh para perwakilan sekalian. Ini adalah merupakan satu perkara ditunggu-tunggu oleh semua,” katanya lagi.

Majlis Perasmian Laman Media ini turut dihadiri oleh Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dan para editor dari pelbagai agensi berita. – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.