UMNO Mendepani Cabaran Serangan Persepsi Luar & Dalam
Assalamuaikum kepada semua sahabat Perwakilan dan ahli UMNO akar umbi.
Seperti semua sedia maklum esok akan bermulanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 selama empat hari di bangunan keramat Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur WTCKL.
Hampir 7,000 perwakilan dari seluruh pelusuk negara akan berkampung, berbahas dan menyuarakan idea bagi mencari solusi demi memastikan UMNO terus memperjuangkan nasib rakyat dan seterusnya mendapat tempat semula di hati warga Malaysia.
UMNO DAN POLITIK MASA KINI
Cabaran UMNO masa kini sangat hebat dan getir apatah lagi sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Daripada sebuah parti yang sangat kuat dan dominan dalam negara telah menjadi antara parti yang mendapat keputusan yang merudum pada PRU15 baru-baru ini.
Semua parti bergabung menyerang UMNO sejak 25 tahun yang lepas mendapat keputusan berbeza. Pakatan Harapan (PH) dan Pas, PH dan PPBM, sebelum ini Pas pernah bergabung dengan Dap; PPBM Bergabung dengan Dap, duduk sekali demi mahu menjatuhkan UMNO dalam Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan merampas Putrajaya.
Kekalahan UMNO pada PRU14 itu sangat jelas memperlihatkan akibat permainan politik fitnah dan pembunuhan watak oleh pihak pembangkang ketika itu. Kesannya hari ini rakyat sudah melihat sangat jelas dan mengakui bahawa permainan politik yang sangat kotor dan jijik telah membawa Malaysia terjunam ke sebuah negara yang tidak stabil sehingga kini.
Pembunuhan watak kepimpinan tertinggi UMNO yang diserang bertali arus dari pelbagai sudut iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden UMNO dan Perdana Menteri) dan beberapa individu lain; disambung pula kepada pertuduhan politik terpilih zaman Tun Mahathir (Tun M) menjadikan negara terus dalam keadaan yang tidak stabil.
Hal ini berlarutan dengan cubaan pembunuhan watak terhadap YAB Datuk Seri Ahmad Zahid pula yang mereka lakukan selepas PRU14 apabila beliau menjadi Presiden UMNO sehingga kini.
Persolannya, adakah kita mahu tumpang sekaki dan mengiyakan permainan politik seperti ini? Fikir-fikirkanlah!
POLITIK MATANG UMNO
Selepas 2018, UMNO telah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka tanpa turun ke jalanan atau membuat himpunan mahu jatuhkan kerajaan. Kepimpinan parti hinggalah anggota akar umbi berlapang dada malah akur menjadi pembangkang.
Ini kerana UMNO sentiasa menghormati sistem demokrasi dan Perlembagaan Negara. UMNO sedar dan hormat akan suara rakyat yang mahukan perubahan dan rakyat menolak kerajaan BN biarpun telah memimpin Malaysia lebih 60 tahun.
Biarpun menjadi pembangkang namun itu bukan bermakna UMNO berdiam diri. Dalam Dewan Rakyat UMNO bersuara menyangkal pelbagai kebobrokan dan kepincangan kerajaan ketika itu yang hanya tahu menuding jari. Kerajaan baharu yang diharap rakyat tidak sebanding dengan janji-janji menggunung sebelum menang PRU. Dah menang lain dikata masih juga semua salah UMNO.
Tapi satu demi satu kebenaran terbukti dan kerajaan yang bangkit atas fitnah tak akan bertahan lama lantas dengan sendiri runtuh apabila Tun M meletak jawatan. Yang pasti bukan salah UMNO tapi itu pertelingkahan sesama sekutu mereka sendiri.
POLITIK DINAMIK MALAYSIA
Politik Malaysia sangat dinamik dan demokrasinya sangat subur. Dulu lawan, sekarang kawan, dulu kawan sekarang lawan. Semua rakyat kerana terima hakikat ini.
Ketika UMNO memusuhi Dap, Pas pula berkawan; ketika Pas berlawan dengan Dap, PPBM pula berkawan dengan Dap; bila Pas dan PPBM berlawan dengan Dap, UMNO pula berkawan dengan Dap.
‘In politic, no permanent friend, no permanent enemy’. Ini kenyataan yang harus diterima oleh semua pihak termasuk rakyat. Tetapi yang hairannya, kenapa Pas dan PPBM boleh berkawan dengan Dap, tetapi apabila UMNO duduk dalam kerajaan bersama Dap semua terangkat menjerit jadi panas?
Harus diingat, keberadaan UMNO dalam kerajaan ini adalah atas titah Tuanku Agong yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negara. Sehingga kini UMNO tak pernah menggadaikan prinsip perjuangan biarpun telah membentuk Kerajaan Perpaduan termasuklah dengan Dap. Semua pihak ‘move on’ kerana yang utama UMNO tidak lari daripada prinsip dan perlembagaan parti, masih tetap mengutamakan agama, bangsa dan negara.
MASA DEPAN DAN HALA TUJU
Dalam PAU kali ini, UMNO perlu memikirkan masa depan dan hala tuju parti yang jelas demi memastikan UMNO terus releven kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Pengalaman UMNO dan kecekapan pemimpinnya amat diperlukan untuk mentadbir negara. Kepimpinan UMNO perlu terus fokus dan jangan terpengaruh akan fitnah luar yang kononnya UMNO sudah lari daripada prinsip perjuangan yang sebenar.
Ahli parti perlu tahu siapa musuh sebenar, perlu tahu pihak mana yang mahu kafankan UMNO dari pentas politik Malaysia sejak lima tahun ke belakang ini. Dap tidak bertanding di kerusi UMNO, majoriti kerusi yang UMNO tandingi baru-baru ini adalah Perikatan Nasional (PN) bukan PH. Realitinya UMNO kalah kepada PN bukan Dap.
Jangan kita terpengaruh dengan dakyah politik luar yang sangat benci kepada UMNO. Manipulasi dan persepsi negatif terhadap parti masih dibuat oleh pihak yang mahukan UMNO berkubur.
Kepimpinan parti dan ahli akar umbi perlu terus bersatu padu di bawah panji UMNO dan memberi kepercayaan kepada YAB Datuk Seri Ahmad Zahid untuk memimpin parti. Inilah Presiden kita, nakhoda yang mengemudi parti bagi mendepani pelbagai cabaran termasuklah pilihan raya dan sehingga pemilihan akan datang. Justeru, kita perlu sama-sama membantu Presiden untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Jentera parti perlu menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap pemimpin dan parti selama ini. Jangan mengalah dan jangan berdiam diri, apatah lagi nak tumpang sekaki. Bukankah amat sedih sekiranya melihat ada di antara kita pula yang mengiyakan cakap individu yang menghentam parti dan kepimpinannya.
Kita semua perlu balik semula kepada slogan parti ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’. Jika kita boleh memegang slogan ini dan menurutinya, insya-Allah zaman kegemilangan UMNO akan dapat dikembalikan. Lantas, dalam ruang yang ada kini, gunakanlah pentas PAU 2023 untuk kita semua berpaut semula demi untuk memastikan parti keramat ini boleh terus berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat Malaysia.
Kepimpinan dan ahli harus sama-sama amalkan dua pepatah Melayu ini iaitu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘biduk berlalu kiambang bertaut’. Insya-Allah UMNO akan kembali semula sebagai parti dan menjadi payung kepada bangsa, agama dan negara serta tempat berpaut rakyat Malaysia keseluruhan.
Selamat Bersidang Perwakilan UMNO 2023
DATUK MOHD RAFI ALLI HASSAN
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Labuan
*****************************************************