PAU 2023 Platform Pengukuhan, Teroka Kaedah Dan Pendekatan Baharu

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan platform terbaik kepada pengukuhan dalam kalangan ahli parti serta penentuan hala tuju buat parti keramat ini.

Jelas beliau, ianya penting untuk dicerakinkan apatah lagi dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Kita berharap pada PAU kali ini akan memberikan gambaran yang jelas dan gerak kerja teliti selepas ini untuk mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas untuk kita memperbaiki daripada segi gerak kerja pilihan raya.

“Menerokai kaedah dan pendekatan baharu berdasarkan kepada pola pengundian dan guna demografi pengundi dalam PRN kali ini,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar itu kepada UMNO Online.

Bercakap lanjut mengenai PRN di Selangor ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata gerak kerja sebaiknya perlu dilakukan sebagai usaha parti dalam menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

“PAU pada kali ini perlu digunakan sebaiknya oleh semua pucuk pimpinan dan juga perwakilan agar kita dapat bergerak dalam satu gerak kerja seiring yang mana telah pun dipersetujui di peringkat pimpinan khususnya dalam konteks PRN.

“Kita juga perlu melihat kepada ruang dan peluang yang ada untuk Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam PRN kali ini menjadi sebahagian dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri tersebut khususnya di Selangor,” ujar beliau.

Terdahulu dilaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dijangka mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebelum 25 Jun ini.

Amirudin akan mengadap Sultan Selangor sebelum 25 Jun iaitu tarikh pembubaran automatik dewan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.