UMNO Sebagai Parti Melayu Terbesar Main Peranan Tersendiri, Pengukuhan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 5 Jun – UMNO sebagai parti Melayu terbesar memainkan peranan tersendiri dalam pengukuhan Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias.

Menurut beliau, UMNO membuktikan kewibawaan kerana meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , namun masih terus relevan mendepani turun naik arus politik negara.

“Orang ramai mahu melihat bagaimana sebuah parti orang Melayu yang terbesar di negara ini adakah mampu menyatukan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan supaya terus kekal kuat dan stabil.

“UMNO harus membuktikan kewibawaannya yang mula dikatakan kehilangan sokongan orang Melayu kerana akhirnya rakyat hanya ingin melihat kerajaan yang stabil dan berpadu demi menjaga kestabilan rakyat.

“Dan gabungan kerajaan ini harus membuktikan bahawa semua parti gabungannya dalam Kerajaan Perpaduan bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan kerana kepentingan tertentu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada sokongan 19 parti-parti politik dibentuk selepas tiada parti yang memenangi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

UMNO antara parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan selepas Yang di-Pertuan Agong menyarankan diwujudkan Kerajaan Perpaduan sebagai hala tuju bagi menjamin kestabilan politik dalam negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.