PAU 2023 Inspirasi Golongan Muda Teruskan Perjuangan Agama, Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 diadakan bermula 7 hingga 10 Jun depan dengan pelbagai pengisian yang tentunya bakal memanifestasikan harapan untuk masa hadapan.

Bagi Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nik Zakirah Zakimi Na Rahim, menganggap PAU 2023 adalah inspirasi kepada golongan muda dalam usaha meneruskan perjuangan UMNO yang berpaksikan agama, bangsa dan negara.

Ujarnya, keterujaan anggota Puteri UMNO untuk mengikuti dan bersama-sama menjayakan persidangan terbesar bangsa Melayu ini tentunya juga bersandarkan kepada harapan untuk memantapkan gerak kerja.

“Sebagaimana kita semua maklum, PAU 2023 ini adalah julung kali diadakan selepas pemilihan parti Mac lalu.

“Selepas ini kita juga tahu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung di enam buah negeri maka tentunya kami sebagai golongan muda mengharapkan agar persidangan ini akan dapat menjadi inspirasi kepada kami,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, tentunya setiap ucapan sama ada ucapan dasar dari kepimpinan parti dan juga perbahasan daripada para perwakilan akan dapat memberikan suntikan semangat dalam menyemarakkan perjuangan.

“Banyak sejarah dahulu yang boleh menjadi tauladan kepada generasi muda termasuklah PAU yang acapkali menentukan landasan gerak kerja untuk diterjemah dalam realiti parti nanti.

“Justeru, saya menyeru kawan-kawan dan golongan muda yang lain untuk sama-sama mengikuti PAU 2023 lantas teguhkan tekad agar perjuangan UMNO kembali kukuh demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

PAU 2023 akan mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit