Raptai Acara Tradisi PAU 2023 Berjalan Lancar – SUK UMNO

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Menjelang beberapa hari sahaja lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, hari ini berlangsung raptai penuh acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pagi tadi.

Raptai berkenaan yang bermula jam 8 pagi dikendalikan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan seluruh kakitangan Ibu Pejabat UMNO serta Skuad Sayang dan Skuad Sabil.

Sejurus selesai raptai berkenaan, Sumali ketika ditemui UMNO Online berkata urusan perjalanan menjelang PAU 2023 berlangsung dengan baik dan raptai hari ini adalah sebahagian daripada proses sebelum tiba acara yang sebenar nanti.

“Alhamdulillah hari ini selesai raptai dan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023. Raptai ini melibatkan seramai 50 orang peserta dari Skuad Sayang, 50 orang dari Skuad Sabil dan paling utama keberadaan semua Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri dalam acara di luar dewan ini,” katanya.

Sumali seterusnya menambah acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa adalah acara tradisi saban tahun termasuklah program-program lain sepanjang PAU berlangsung.

“Ini adalah acara tradisi setiap tahun sempena PAU. Untuk tahun ini menyediakan lebih 82 buah gerai-gerai yang menjual pelbagai pakaian, cenderahati dan apa saja sempena PAU ini dan di samping itu juga terdapat 10 ‘booth’ kementerian dan agensi kerajaan yang akan bersama-sama pada perhimpunan ini.

“Saya merasakan tahun ini lebih bersemangat apatah lagi selepas pemilihan UMNO. Sudah pastilah ramai ahli UMNO dan yang sentiasa bersama dengan parti ini menjangkakan kehadiran lebih 10 ribu orang selama tiga hari berlangsung,” jelasnya.

Tambahnya lagi, perhimpunan ini akan bermula pada 7 Jun (Rabu) iaitu perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan diadakan di Dewan Merdeka pada sebelah malam.

“Pada hari Khamis akan bermula persidangan sayap-sayap UMNO di dewan yang berbeza iaitu Wanita diadakan di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Abdul Razak Empat dan Puteri di Dewan Tun Hussien dan Tun Dr Ismail.

“Keesokannya pada 9 dan 10 Jun (Jumaat dan Sabtu) itu adalah hari PAU yang sebenar. Pada paginya acara menaikkan bendera di Plaza Merdeka dan seterusnya adalah ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka jam 10 pagi.

“PAU ini berlangsung dua hari dan berakhir pada hari Sabtu petang. Jurucakap negeri dan jurucakap Wanita, Pemuda dan Puteri semuanya akan berbahas jam tiga petang pada hari Jumaat sehinggalah petang Sabtu dan akhirnya adalah ucapan penggulungan Timbalan dan Presiden UMNO,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kelainan pada PAU kali ini, Sumali berkata ia berjalan seperti kelaziman sebelum ini dan jika ada kelainan adalah mengenai jemputan pemimpin-pemimpin utama parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadirinya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit