Persidangan Pemuda Manfaat Platform Perkukuh Hubungan Adik-beradik

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memaklumkan persidangan sayap mereka akan dimanfaatkan sebaiknya sebagai platform memperkukuh kekeluargaan dalam kalangan Pemuda.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ianya adalah medan terbaik bagi berdiskusi agar kekeliruan dan pandangan baharu diangkat bagi memperkasa Pemuda dan parti keramat ini.

“Jadi sebab itu kita hendak tengok kesepakatan antara ahli-ahli Pemuda, tidak mahu ada apa yang terbuku dalam hati maka harus ianya disuarakan dalam persidangan, supaya dapat dijelaskan dengan lebih baik.

“Ini rumah kita sudah tentu hendak jaga, betulkan dahulu apa yang berlaku sebelum jemput orang luar masuk dan duduk bersama kita.

“Sebab itu pada kali ini insya-Allah untuk persidangan Pemuda UMNO tidak akan menjemput mana-mana parti, sebab bagi saya pada kali ini adalah masa untuk baiki dahulu hubungan rumah kita. Adik-beradik kita ini ada yang rasa tidak puas hati, keliru. Sudah la keliru dalam rumah kita kemudian jemput orang lain datang lagi bertambah keliru,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin memaklumkan keputusan itu diambil kerana persidangan ini adalah himpunan pertama kali buat Pemuda selepas Pemilihan 2023/2026 yang telah diadakan pada Mac lalu.

“Jadi ini adalah ruang untuk kita memperbaiki kelemahan, duduk bersama beri penerangan kerana ini adalah pentas kita, bagi ruang untuk bercakap seluas-luasnya.

“…tetapi ini tidak bermakna tidak menjemput parti lain kita tidak boleh bersama, tidak… kerana ini adalah Perhimpunan Agung Pemuda pertama.

“Jadi biarlah selesai antara kami, dah baik boleh panggil (parti lain) pada tahun hadapan tetapi kali ini adalah mengenai Pemuda UMNO, ini rumah kita,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit