Semangat PAU 2023 Akan Diaplikasi Bagi Memenangi Enam PRN Kelak – Fadil

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan Mohamad Fadil Md Zin yakin semangat membara akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 akan diangkat bagi hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sehubungan itu katanya, semangat itu akan terus bergerak seiring dan sejalan bersama kepimpinan UMNO serta membawa panji-panji Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin PAU 2023 ini akan bergerak seiring dengan semangat yang dibawa ketika Kovensyen Nasional baru-baru ini iaitu kepimpinan bersama akar umbi bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu enam negeri bagi membawa panji-panji Kerajaan Perpaduan.

“Rata-rata akar umbi sudah memahami strategi UMNO untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan melalui sesi penerangan yang sedang giat dijalankan di peringkat negeri-negeri yang bakal menghadapi PRN. Akar umbi juga sedar bahawa perbalahan antara parti hanya merugikan rakyat sekiranya negara tidak mempunyai pentadbir atau kepimpinan yang kuat.

“Atas tekad ini, akar umbi UMNO terutamanya pemuda kekal teguh bersama rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menyokong strategi yang telah direncanakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama dengan kepimpinan tertinggi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban mengharapkan seluruh ‘keluarga besar’ UMNO dapat mempereratkan ukhwah dan solidariti sesama ahli parti bagi hadapi PRN.

“Saya berharap agar seluruh keluarga besar UMNO dapat memperkukuh hubungan serta solidariti sesama ahli UMNO menjelang PAU 2023 dan dapat berkongsi naratif serta strategi baru yang segar untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.

“UMNO sewajarnya menoktahkan sebarang perbalahan antara kita dan kembali bersatu padu bagi memperkuat parti dan jentera parti bagi menghadapi PRN.

“Saya harap tiada lagi wujud puak-puak sama ada penyokong Presiden ataupun kumpulan-kumpulan broker yang hanya akan melemahkan parti. Kita adalah UMNO dan hanya ada satu pasukan UMNO,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.